Labuan tidak harus ketinggalan dalam Projek Pan Borneo

Labuan tidak harus ketinggalan dalam Projek Pan Borneo

LABUAN, 18 Mac (Bernama) – Pulau bebas cukai di sini tidak harus ketinggalan daripada mendapat manfaat projek Lebuh Raya Pan Borneo, khususnya bagi kawasan Sabah, kata anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Beliau berkata perbincangan supaya mengadakan laluan yang menghubungkan Labuan dengan lebuh raya itu telah diadakan dengan kerajaan persekutuan, bagaimanapun persetujuan daripada kerajaan negeri Sabah diperlukan kerana ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri berhubung isu tanah.

“Saya akan merayu kepada kerajaan negeri Sabah supaya mengadakan laluan menghubungkan Labuan dengan Lebuh Raya Pan Borneo menerusi Menumbok ke Beaufort,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lebuh raya sepanjang 2,239 kilometer itu akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak serta Brunei dan kelulusan projek di Sabah dijangka dilancarkan tahun ini.

Di Sabah, projek lebuh raya itu akan melalui Weston di Beaufort, Keningau, Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud, Sandakan, Tawau, Lumut, Sg Liang dan Tutong.

“Kami berpendapat laluan yang menghubungkan pulau ini dengan lebuh raya yang ditunggu-tunggu itu adalah penting kerana ia akan memberi manfaat kepada Sabah dan Labuan sebagai pusat perdagangan dan pelancongan di pantai barat Sabah.

“Oleh kerana lebuh raya itu akan mempunyai laluan yang menghubungkan Tuaran hingga Kudat di sebelah utara Sabah, ia dilihat seperti semua kawasan di Sabah dihubungkan, tetapi Labuan ketinggalan daripada manfaat projek infrastruktur utama di Borneo ini,” katanya.

Beliau berkata sekiranya laluan di Beaufort dibuka, ia akan menggalakkan pelancong yang melalui tempoh perjalanan yang lama, untuk menjadikan pulau ini sebagai transit dan mendapatkan barangan terpilih dengan harga lebih murah.