Labuan tingkatkan saringan kesihatan

Labuan tingkatkan saringan kesihatan

LABUAN, 19 Sept – Jabatan Kesihatan Labuan meningkatkan saringan kesihatan di pintu-pintu masuk pulau bebas cukai itu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan virus Zika.

Pemangku pengarahnya Dr. Zaki Ab Hamid berkata saringan kesihatan itu dilaksanakan terhadap penumpang Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang menerima penumpang dari Kota Kinabalu dan daerah pedalaman Sabah seperti Sipitang, Beaufort serta Menumbok; dari Brunei dan Limbang, Sarawak.

“Saringan kesihatan yang sama turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Labuan,” katanya dalam satu temu bual bersama wakil Radio Televisyen Malaysia dan Bernama Labuan di sini, hari ini.

Zaki menasihatkan pegawai dagang daripada sektor minyak dan gas dan pekerja Malaysia yang telah pergi ke Singapura atau negara lain yang dilanda Zika dan mengalami demam atau simptom lain supaya segera melakukan pemeriksaan perubatan dan mendapatkan rawatan.

“Di kesemua pintu masuk ini, kami memberikan Kad Kesihatan kepada pelawat yang mempamerkan simptom Zika dan risalah kepada pelancong mengenai pencegahan jangkitan Zika dan langkah berjaga-jaga,” katanya.

Zaki berkata: “Kami menempatkan anggota kami di terminal feri dan lapangan terbang untuk memantau kemasukan pelawat ke pulau ini. – Bernama