Labur dalam teknologi jimat kos, inovasi

Labur dalam teknologi jimat kos, inovasi

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Harga minyak yang kini rendah sewajarnya mendorong inovasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menggesa syarikat tenaga boleh baharu melabur untuk meningkatkan kaedah pengeluaran.

Ini katanya akan menjadikan tenaga lebih murah dan lebih berdaya maju dari segi ekonomi dalam jangka panjang, sekali gus ia menarik apabila harga minyak kembali melantun tinggi.

“Saya percaya kesukaran mampu membuka peluang… Inilah masa apabila teknologi penjimatan kos serta perkhidmatan akan memperoleh perkhidmatan yang lebih tinggi,” katanya semasa merasmikan Persidangan ke-18 Minyak dan Gas Asia 2015 di Pusat Konvensyen KL, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam ASEAN, mempromosi inovasi dan teknologi pintar bukan sahaja meningkatkan kecekapan tenaga, malah turut mendorong daya saing dalam industri, termasuk bangunan, pengangkutan dan pengilangan.

Mengenai harga minyak mentah Brent yang kini dalam lingkungan AS$65 setong berbanding AS$110 setahun lepas, Najib berkata terlalu banyak fokus telah diberikan ke atas masalah lebihan bekalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) ketika hadir merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-18. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) ketika hadir merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-18. – Bernama

“Daripada hanya memikirkan kaedah untuk membendung lebihan, kita sepatutnya menumpukan usaha ke arah merangsang ekonomi yang seterusnya akan meningkatkan permintaan,” katanya.

Perdana Menteri memperakui bahawa penurunan harga minyak mentah memberi implikasi ke atas banyak kerajaan di seluruh dunia.

Beliau berkata Malaysia sebagai contoh, menyelaraskan unjuran harga setong daripada AS$105 kepada AS$55 dalam Bajet 2015.

“Namun, pembaharuan yang kita sudah lakukan, meletakkan kita pada kedudukan yang lebih baik untuk menangani kejutan luar,” katanya.

Najib berkata sejak beberapa tahun lepas, kerajaan berusaha mengukuhkan asas ekonomi dan kedudukan fiskal Malaysia, meluaskan aliran hasil dan mengurangkan pergantungan negara ke atas pendapatan daripada minyak dan gas.

Beliau memberitahu peserta persidangan bahawa walaupun kira-kira satu pertiga daripada sumber hasil Malaysia terjejas, persekitaran harga minyak yang rendah juga bermakna eksport negara menjadi lebih kompetitif.

Ia turut membuka peluang untuk membuat perubahan dan pembaharuan tepat pada masanya, kata Najib, yang memberikan contoh mengenai program rasionalisasi subsidi negara bermula Julai 2010 dan menarik balik subsidi petrol dan diesel Disember tahun lepas.

“Ini bukan sahaja membebaskan lebih RM20 bilion dalam perbelanjaan tahunan untuk pembangunan Malaysia, malah kami juga menimbang tindakan ini merupakan langkah yang mesra alam,” katanya.

Najib berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan bulan lepas akan mempelbagaikan hasil kerajaan.

“Kedua-dua langkah ini akan memperkukuh daya tahan ekonomi kita,” katanya.

Lebih 1,700 peserta dalam industri minyak dan gas dari 18 negara menghadiri persidangan tiga hari itu. – Bernama