LADA menang anugerah perniagaan Worldcob

LADA menang anugerah perniagaan Worldcob

LANGKAWI, 14 Dis (Bernama) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyertai barisan organisasi terkemuka dunia seperti Microsoft dan Apple Inc selepas dipilih sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan The Bizz 2016 World Confederation of Businesses (WORLDCOB).

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli berkata, pertubuhan pembangunan perniagaan yang berpangkalan di Houston, Amerika Syarikat itu, dalam e-mel kepada LADA baru-baru ini berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada skor tinggi yang dicapai oleh pihak berkuasa tersebut di bawah penilaian kecemerlangan perniagaan WORLDCOB.

Khalid berkata bahagian yang dinilai ialah penerajuan perniagaan, kualiti produk dan perkhidmatan, pengurusan sistem, inovasi, kreativiti, tanggungjawab sosial korporat dan pencapaian.

“Ini (memenangi anugerah ini) sangat besar. Malahan Apple dan Microsoft juga pernah menerima anugerah daripada WORLDCOB,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Beliau berkata LADA dijemput menghadiri penyampaian hadiah itu yang akan diadakan di Monte Carlo, Monaco, pada 15 Mei tahun depan.

Khalid berkata memenangi anugerah ini merupakan satu pencapaian utama bagi LADA yang sebelum ini turut mendapat beberapa pengiktirafan.

“Dalam hal ini, kami tidak mengemukakan sebarang pencalonan. Ia merupakan satu kejutan kepada kami. WORLDCOB menjalankan penyelidikan mereka sendiri (untuk menilai prestasi LADA),” katanya.

Beliau berkata memenangi anugerah itu membuktikan kepentingan untuk mempromosikan LADA di platform global.

ARTIKEL YANG SAMA