Ladang angin terbesar diberi kebenaran

Ladang angin terbesar diberi kebenaran

LONDON, 4 Feb – Satu ladang angin yang akan menjadi terbesar di dunia dan membekalkan elektrik kepada lebih satu juta rumah telah pun diberi kebenaran di Britain.

Pemaju angin luar pesisir Dong Energy berkata semalam satu keputusan muktamad telah pun diambil untuk membina 1.2 gigawat skim Projek Satu Hornsea di luar pantai Yorkshire di utara England.

Dijadualkan siap pada tahun 2020, pembangunan besar itu akan menjangkau 160 batu persegi dan menggunakan 174 turbin angin, setiap satu 190 meter tinggi – lebih tinggi daripada menara “Gherkin” di London.

“Ia adalah baru dan inovatif, membekal elektrik kepada lebih banyak rumah berbanding mana-mana ladang angin luar pesisir yang sedang beroperasi sekarang,” kata Brent Cheshire, pengerusi negara Dong Energy UK.

“Untuk memiliki ladang angin luar pesisir terbesar di dunia yang terletak di pantai Yorkshire adalah amat penting, dan memaparkan peranan penting yang akan dimainkan oleh angin luar pesisir dalam keperluan UK untuk tenaga karbon rendah baru.”

Ladang angin telah berkembang pesat di Britain sejak satu dekad lalu, dibantu oleh angin kencang dan geografi yang sesuai, kini menghasilkan 10 peratus daripada keperluan tenaga Britain, menurut kumpulan perniagaan Renewable UK.

Badan industri itu berkata pembangunan akan membantu Britain memenuhi janji untuk mengehadkan pengeluaran gas rumah hijau yang dibuat di Persidangan Perubahan Iklim Dunia 2015 (COP21) di Paris pada tahun lalu.

“Ladang angin luar pesisir ini akan memainkan peranan penting dalam memenuhi komitmen iklim Paris kami, tetapi juga akan membantu mewujudkan infrastruktur tenaga baru yang amat diperlukan oleh negara ini,” kata penolong ketua eksekutif RenewableUK Maf Smith.

Pembinaan Projek Satu Hornsea akan menyediakan 2,000 pekerjaan, dan ia akan menggaji 300 orang sebaik sahaja skim itu selesai, menurut Dong Energy. – AFP