Ladang bersepadu ternak kerbau

Ladang bersepadu ternak kerbau

Oleh Arissa

 

LAWAS, 7 Okt – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Malaysia diminta untuk mewujudkan sebuah ladang bersepadu penternakan kerbau membabitkan Daerah Limbang, Lawas dan Daerah Temburong, Negara Brunei Darussalam.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kerajaan Brunei sebelum ini secara dasarnya bersetuju untuk membenarkan penggunaan jenama halal dan perhubungan antarabangsa negara itu bagi memasarkan hasil daging kerbau di peringkat antarabangsa.

“Kita telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berminat untuk bekerjasama dalam ladang bersepadu ini dan perkara ini dinyatakan oleh Baginda Sultan dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud sewaktu pertemuan di Brunei pertengahan tahun ini,” jelasnya.

Awang Tengah berkata demikian pada penyerahan bantuan Amanah Saham Bumiputera Sejahtera (ASB), dividen lembu, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan PPP Khas untuk mangsa kebakaran di Awat-awat peringkat negeri Sarawak (Zon Utara) di Hotel Seri Malaysia, kelmarin.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri KKLW Malaysia, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Kemajuan Luar Bandar Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Selamat Jati Yanjah dan Pegawai Daerah Lawas, Husaini Hakim.

TERIMA KASIH...Para kenamaan bersama penerima bantuan kerajaan bergambar ramai.
TERIMA KASIH…Para kenamaan bersama penerima bantuan kerajaan bergambar ramai.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak menjelaskan lagi cadangan itu jika dilaksanakan nanti mempunyai potensi memandangkan kesediaan negara jiran, Brunei untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan projek ini.

Jelasnya lagi KKLW mempunyai peranan besar dalam merealisasikan program transformasi luar bandar yang diperjuangkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Malahan kerjasama erat perlu dipertingkatkan melalui sokongan padu rakyat dalam memastikan segala usaha ini dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Sementara itu KKLW akan melihat secara serius cadangan mewujudkan sebuah ladang bersepadu penternakan kerbau di utara negeri ini membabitkan bahagian ini dan Daerah Temburong, Negara Brunei Darussalam.

Timbalan Menteri KKLW Malaysia, Datuk Alexander Nanta Linggi optimis bahawa projek itu berpotensi untuk diperkembangkan dengan adanya kesediaan Negara Brunei yang mempunyai jenama halal dan perhubungan antarabangsa baik untuk memasarkan hasil produk daging kerbau ini kelak.

Perkara tersebut katanya akan dikemukakan kepada menteri berkenaan bagi tujuan penghalusan dan mendapatkan peruntukan sewajarnya untuk menceburi sektor ternakan kerbau bersepadu di utara Sarawak.

Beliau juga amat gembira dengan komitmen Awang Tengah dalam menyokong usaha ini untuk menjadi satu realiti yang bukan sahaja mampu membela nasib rakyat luar bandar tetapi membawa penyertaan negara jiran dalam mengembangkan produk yang berpotensi ini.

Alexander Nanta juga membayangkan bahawa terdapat banyak lagi produk yang akan menyusul sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai gagasan negara maju menjelang 2020 yang akan melibatkan belanjawan negara kelak.

Seterusnya beliau komited untuk terus membantu negeri ini mendapatkan apa sahaja peluang dan kemudahan di bawah kementeriannya dalam merealisasikan usaha Ketua Menteri Sarawak untuk mentransformasikan kawasan luar bandar negeri ini.