Lady Bikers Brunei raikan ulang tahun ke-5

Lady Bikers Brunei raikan ulang tahun ke-5

Oleh Mohammad Abdullah

 

BANDAR SERI BEGAWAN 7 Oktober – Rata-ratanya kelab-kelab motosikal yang ditubuhkan khususnya kumpulan wanita jarang sekali akan bertahan selama mungkin apalagi menurut sesetengah kajian sekitar 60 peratus daripada kumpulan motosikal yang baru akan berpecah belum sampai setahun atas unsur-unsur luaran dan masalah dalaman.

Berlainan pula dengan kumpulan Lady Bikers Brunei yang terdiri daripada penunggang-penunggang wanita yang berjuang mempertahankan kumpulan mereka di bawah pimpinan ketua kumpulannya, Dayang Nurana Marina binti Abdullah Chin yang baru-baru ini telah mengadakan sambutan ulang tahun ke-5 mereka.

“Alhamdulillah dengan sokongan kumpulan dan persatuan motosikal dari dalam dan luar negara, Kumpulan Lady Bikers bukan sahaja berjaya bertahan selama ini. Sokongan padat daripada ahli-ahli Lady Bikers juga telah menolong kumpulan ini untuk berkembang maju dan mengembangkan sayapnya di rantau ini,” ujar Dayang Nurana Marina.

Setakat ini, kumpulan Lady Bikers Brunei adalah salah satu-satunya kumpulan penunggang yang khususnya bagi wanita sahaja yang telah berjaya bertahan selama lima tahun.

Kumpulan Lady Bikers dan kumpulan motosikal wanita yang lain bergambar ramai bersama ketua Lady Bikers Brunei, Dayang Nurana Marina (paling kanan).
Kumpulan Lady Bikers dan kumpulan motosikal wanita yang lain bergambar ramai bersama ketua Lady Bikers Brunei, Dayang Nurana Marina (paling kanan).

Ini adalah salah satu kebanggaan bagi setiap ahli-ahli Lady Bikers Brunei yang mana arena permotoran sering didominasi kaum Adam dan hanya segelintir sahaja kumpulan yang dikhususkan untuk wanita.

Antara tujuan kumpulan ini ditubuhkan adalah bagi menyatupadukan pembonceng motosikal terutama wanita dalam memberi keselesaan konvoi berkumpulan dan berkongsi hobi di bawah satu bumbung.

Dayang Nurana Marina juga mengatakan bahawa beliau sangat bersyukur dengan sokongan-sokongan yang padu daripada syarikat-syarikat penaja, ahli-ahli kumpulan Lady Bikers Brunei, serta sokongan yang telah diberikan oleh keluarga-keluarga mereka untuk menjayakan kumpulan tersebut selama ini.

Beliau juga berharap sokongan berterusan adalah diharapkan untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi kumpulan ini ke era baru.

ARTIKEL YANG SAMA