Lafferty tidak kisah jadi pemain simpanan

Lafferty tidak kisah jadi pemain simpanan

UEFA-Euro-2016-Logo

SAINT-GEORGES-DE-RENEINS, 20 Jun (AFP) – Walaupun menjaringkan tujuh gol sepanjang kempen kelayakan Euro 2016, penyerang sensasi Ireland Utara, Kyle Lafferty berkata ia bukan jaminan untuknya disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi pertemuan menentang juara dunia, Jerman, awal pagi Rabu ini.

Penyerang Norwich City berusia 28 tahun itu memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Ireland Utara melangkah kali pertama ke Kejohanan Eropah menerusi setiap jaringannya.

Bagaimanapun, dia sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Ireland Utara mencatat kemenangan bersejarah 2-0 ke atas Ukraine pada Khamis lalu, selepas aksi hambarnya ketika tewas 0-1 kepada Poland dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

“Ia bukan hanya mengenai saya,” kata Lafferty. “Tempat saya dalam pasukan tidak pernah terjamin dan apa yang berlaku di Lyon membuktikannya.”

Pada pertemuan dengan Ukraine, pengendali Michael O’Neill lebih berminat mempertaruhkan penyerang Queens Park Rangers, Conor Washington untuk mengetuai jentera serangan dalam satu daripada lima pertukaran dibuatnya.

Tandukan terbang pertahanan Gareth McAuley dan jaringan pada masa tambahan Niall McGinn menghadiahkan Ireland Utara kemenangan pertama di Euro dan tonik terbaik untuk menghadapi perlawanan getir menentang Jerman.