Lagak polis pengiring VIP, rupanya penjual kue tiau goring

Lagak polis pengiring VIP, rupanya penjual kue tiau goring

KUALA LUMPUR, 6 Jan (The Star) – Sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu motosikal, penunggang yang siap berpakaian polis itu mengiringi konvoi kereta mewah VIP di pusat bandar Kuala Lumpur.

Mereka bahkan memecut kenderaan lain dan mengarahkan pergerakan trafik agar konvoi VIP yang mereka iringi dapat bergerak dengan licin.

Bagaimanapun, keadaan menjadi lucu apabila pegawai pengiring VIP itu ditahan polis – mereka sebenarnya pegawai polis palsu, lapor akhbar The Star edisi online hari ini.

Tatkala pegawai polis sebenar menggari mereka, konvoi VIP yang terdiri daripada Chrysler, Audi dan Mercedes Benz itu terus memecut laju.

Pegawai polis penyamar itu menunggang motosikal Honda CBX 750, sama dengan yang digunakan pegawai peronda sebenar.

Seorang daripada mereka sebenarnya penjual kue tiau goreng dan seorang lagi pengawal keselamatan, kata pegawai polis semasa membawa motosikal itu ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Dua lelaki berusia 36 tahun itu menyediakan perkhidmatan iring ‘rasmi’ bagi VIP dari Zimbabwe dan China.

Mereka berpakaian jaket kuning dan biru menyerupai pegawai trafik dan mempunyai topi keledar biru dan putih yang sama dengan yang dipakai pegawai polis.

Motosikal mereka ialah kenderaan polis yang tidak digunakan lagi dan telah dilelong dan dibeli oleh suspek pada harga RM9,000 (BND$2,950) setiap satu.

“Ia betul-betul sama!” kata Timbalan Superintenden Polis Markandan Subramaniam, sambil memeriksa kenderaan itu.

Siren dan lampu mereka sama 100 peratus dengan yang digunakan polis – malah mereka menampal pelekat ‘Terima Kasih kerana Memberikan Laluan’ pada motosikal mereka.

Yang tiada hanya perkataan ‘Polis’ pada kenderaan itu, kata DSP Markandan.

Pelekat ‘Polis’ itu tersimpan dalam tempat simpan barang motosikal tersebut, bersama dua walkie-talkie dan jaket kuning bercahaya polis rasmi.

“Suspek mendakwa jaket itu milik rakan mereka, seorang pegawai polis, yang memberinya kepada mereka. Kami sedang menyiasat perkara ini.

“Kami sedang menyiasat bagaimana mereka mendapat bahagian motosikal untuk membuat kenderaan mereka kelihatan seperti motosikal polis dan berapa lama mereka telah beroperasi seperti ini,” kata DSP Markandan.

Dua lelaki itu sedang disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai pegawai polis.

Polis juga menemui sebotol sos soya dalam tempat simpan barang motosikal si penjual kue tiau goreng.

ARTIKEL YANG SAMA