Lagi 5 negara minat sertai TPP

Lagi 5 negara minat sertai TPP

MANILA, 17 Nov (Agensi) – Lima lagi negara termasuk dari ASEAN sudah menyatakan minat untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara berkenaan menyatakan minat mereka semasa perbincangan dua hala dan juga mesyuarat peringkat menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Beliau berkata, negara berkenaan berminat menyertai TPP dan bersama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dilihat sebagai pakatan yang akan membentuk Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

“Mereka sudah tentunya tidak mahu ketinggalan kerana menyedari bahawa perdagangan kini adalah penyumbang penting pertumbuhan ekonomi sesebuah negara,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, semalam.

Datuk Seri Mustapa menjawab soalan wartawan pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) semalam. – Bernama
Datuk Seri Mustapa menjawab soalan wartawan pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) semalam. – Bernama

Mustapa bagaimanapun tidak menyatakan negara berkenaan. Laporan sebelum ini ada menyatakan Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Thailand, Indonesia, dan India turut menyatakan minat menyertai TPP.

Mustapa berada di sini bagi menghadiri mesyuarat peringkat menteri sempena Sidang Kemuncak Pemimpin APEC selama dua hari yang akan bermula esok.

TPP kini disertai 12 negara, iaitu Brunei, Chile, New Zealand, Singapura, Australia, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam.