Lagi anggota Two Brothers diburu

KOTA KINABALU, 5 Dis – Pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan Remy atau dikenali sebagai Two Brothers iaitu kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di perairan negara, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Beliau berkata kumpulan Two Brothers yang dianggotai 11 individu, bergiat aktif dan banyak melakukan jenayah rentas sempadan di perairan negara pada 2014 hingga penghujung 2015.

“Empat anggota kumpulan berkenaan telah berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina, manakala seorang lagi ditembak mati oleh pasukan keselamatan negera di perairan Silam, Lahad Datu, semalam.

“Lima lagi anggota kumpulan itu berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan Filipina dan seorang lagi masih bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Inisiatif “Have Ex-Policeman Serve As Neighborhood Safety Leaders” di sini hari ini.

Datuk Ramli Din berkata kini Pasukan Keselamatan Malaysia dan Filipina sedang memburu seorang lagi anggota Two Brothers. – Bernama

Mengulas lanjut, Ramli berkata maklumat yang diterima mengatakan suspek yang sedang diburu itu kini berada di selatan Filipina dan sering kali berlegar memasuki perairan negara.

“Kami percaya suspek berkenaan telah bergabung dengan kumpulan KFR yang lain dan menyamar sebagai nelayan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Ramli berkata inisiatif yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)

itu bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan menjadikan pesara-pesara polis sebagai ‘mata dan telinga pihak polis’ di kawasan kediaman mereka

untuk membantu pihak polis dan masyarakat mengekang serta mencegah jenayah.

“Kami menyarankan agar pesara polis mendaftar sebagai Ahli Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan mereka menyalurkan maklumat dengan pantas dengan cara memasukkan maklumat, gambar, video dan lokasi kejadian kepada pihak polis,” katanya. – Bernama