Lagi buaya besar ditangkap di Samarahan

Lagi buaya besar ditangkap di Samarahan

KUCHING, 12 Okt – Pasukan Tindakan Cepat Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menangkap seekor lagi buaya jantan bersaiz besar, berukuran 4.1 meter di Sungai Samarahan Isnin lepas.

SFC dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata tangkapan terbaharu itu dianggarkan seberat 500 kilogram, ditangkap hanya kira-kira 200 meter dari jeti Kampung Pinang, Kota Samarahan, kira-kira 30km dari sini.

“Seperti buaya sebelum ini, perut haiwan itu turut dibelah dan isi perutnya diperiksa. Didapati perutnya mengandungi rambut dan tulang yang akan dihantar untuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti pemiliknya,” kata kenyataan itu.

SWAT akan terus memantau keadaan di sepanjang Sungai Samarahan dan operasi pemusnahan akan dipindahkan ke tempat lain buat masa ini, dan orang awam diingatkan supaya tidak leka dan berjaga-jaga apabila berada di sungai.

Ini merupakan buaya ketiga dimusnahkan semasa operasi SWAT di Sungai Samarahan berikutan serangan buaya di Kampung Baru dan Kampung Pinang sekitar pertengahan September. – Bernama