Lagi didenda kerana rokok

Lagi didenda kerana rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Gara-gara memiliki barang tegahan kastam berupa rokok yang tidak diisytiharkan pada 2013, seorang lelaki tempatan dijatuhi denda $5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Ali Munawar bin Haji Mohsin, 46, dari Kampung Lamunin berdepan pertuduhan memiliki 13 karton dan 17 paket rokok pelbagai jenama dalam kereta yang dipandunya ketika ditahan di kawasan Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 13 Jun 2013 sekitar jam 10:10 pagi.

Fakta kes menyebut, pegawai kastam bertugas telah membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap kereta defendan di mana rokok-rokok itu ditemui disimpan dalam petak tayar ganti dan dalam enjin kereta.

pg06_151105_mahkamah logo2

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu di Indonesia pada harga Rp1,500,000. Harga duti eksais rokok yang seharusnya dibayar oleh defendan ialah $634.

Terdahulu, defendan merayu kepada mahkamah untuk meringankan hukuman dan memohon supaya denda yang bakal dijatuhi tidak akan membebankan dirinya memandangkan dia hanya bekerja sebagai pemandu teksi, dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli mengarahkan defendan untuk membayar $250 setiap bulan, bermula hujung November ini sehingga habis, dan jika gagal akan berdepan empat bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA