Lagi jaket keselamatan diagihkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Mashhor General Contractor Sdn Bhd, hari ini, telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP) dalam mengadakan Majlis Penyerahan Jaket Keselamatan Terpakai kepada pemandu-pemandu perahu tambang untuk diguna pakai oleh penumpang.

Ia adalah sebahagian daripada keperluan keselamatan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa berikutan kemalangan yang melibatkan kelemasan, baru-baru ini.

Majlis berkenaan yang diadakan di Jeti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini itu telah dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Haji Osman bin Haji Omar.

Haji Osman dalam ucapannya menekankan mengenai kepentingan menggunakan jaket keselamatan terutamanya jika berlaku sebarang kejadian di atas air, yang mana dengan menggunakan jaket keselamatan, para pemandu dan penumpang dapat mengapungkan badan mereka.

Manakala itu, Dr. Haji Supry dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa kempen-kempen seperti itu sudah diadakan beberapa kali setiap minggu yang bukan sahaja bertujuan untuk memastikan para pemandu dan penumpang memakai jaket, tetapi juga membawa syarikat-syarikat yang berkesudian untuk menyumbang jaket yang ada.

Dr. Haji Supry bersama tetamu yang hadir semasa majlis tersebut.
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan ketika berucap di Jeti Yayasan, di ibu negara.
Kapten Basza Alexzandar ketika menyerahkan jaket-jaket keselamatan.

“Tujuan majlis pada petang hari ini adalah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan para pemandu dan penumpang dan juga memperbanyakkan pemakaian jaket keselamatan sewaktu memandu dan menumpang perahu tambang,” jelas Dr. Haji Supry.

Sebanyak 40 jaket keselamatan telah diserahkan kepada seramai 20 orang penerima terdiri daripada pemandu-pemandu perahu tambang yang disempurnakan oleh Interim Port Master PBMP, Kapten Basza Alexzandar bin Haji Basri selaku wakil Ketua Eksekutif Sementara PBMP.

Dr. Haji Supry turut menyatakan bahawa pihak Kementerian Perhubungan berusaha untuk mempelawa syarikat-syarikat yang lain untuk turut sama menyumbang jaket keselamatan bagi keselamatan orang ramai.

Perkara paling penting, tekannya, adalah untuk para pemandu memakai jaket keselamatan sebagai model peranan kepada penumpang-penumpang.

Menurutnya lagi, kempen seumpamanya akan diteruskan lagi pada masa akan datang agar peratus penggunaan jaket keselamatan semakin meningkat dari minggu ke minggu.