Lagi kabel dicuri, perkhidmatan TelBru terjejas

Lagi kabel dicuri, perkhidmatan TelBru terjejas

BANDAR SERI BEGAWAM, 25 Mei – Telekom Brunei Berhad (TelBru) memaklumkan bahawa satu lagi kejadian pencurian melibatkan kabel telekomunikasi telah berlaku di kawasan Kampong Ayer, awal pagi kelmarin.

TelBru dalam kenyataannya, hari ini, berkata, kejadian itu berlaku berikutan dua kejadian serupa di kawasan Kampung Sungai Siamas dan Kampung Sungai Kebun, masing-masing pada 21 dan 20 Mei lalu.

Kesemua kejadian melibatkan beberapa ratus meter kabel tembaga dan optik gentian dipotong dan dicuri.

Menurut kenyataan itu lagi, dua kejadian juga telah dilaporkan di Jalan Kecil Kiudang Mungkom pada 14 dan 23 April di mana kabel-kabel dipotong dan dicuri. Kesemua kejadian telah pun dilaporkan kepada polis.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu, tambah TelBru, telah menyebabkan satu siri gangguan perkhidmatan telefon dan Internet kepada pelanggan TelBru termasuk rumah persendirian, dan bangunan-bangunan kerajaan dan komersial.

ATAS/BAWAH: Antara kemudahan TelBru yang terjejas.
ATAS/BAWAH: Antara kemudahan TelBru yang terjejas.

pg04_150526_b

Percubaan pelaku untuk mencuri kabel-kabel tembaga berkenaan juga telah menyebabkan kerosakan kepada kabel-kabel optik gentian yang juga mengakibatkan gangguan teruk perkhidmatan Internet kepada perniagaan dan penduduk setempat.

TelBru berkata, belanja besar telah digunakan untuk membaiki kabel yang rosak dan menggantikan yang dicuri bagi memulihkan perkhidmatan kepada para pelanggannya.

Dalam pada itu, TelBru dalam kenyataannya, turut meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah pencurian kabel melibatkan kemudahan-kemudahannya.

Dalam usahanya mencegah perkara ini, TelBru telah melaksanakan beberapa langkah dengan meningkatkan rondaan keselamatan dan memasang CCTV terutamanya di kawasan yang terdedah kepada pencurian.

Bagaimanapun, TelBru memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti-aktiviti mencurigakan ke balai polis, dan pada masa yang sama menggesa syarikat-syarikat kitar semula supaya memberi bantuan kepada polis dalam siasatan mereka kerana kebanyakan kabel-kabel yang dicuri dipercayai dijual ke syarikat-syarikat seumpamanya.

ARTIKEL YANG SAMA