Lagi kebakaran hutan di Mumong

Lagi kebakaran hutan di Mumong

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 2 Feb – Satu lagi kejadian kebakaran hutan dilaporkan berlaku kelmarin di sekitar kawasan yang sama, berhampiran tempat pembuangan sampah haram dekat kawasan perumahan RPN Lorong Tengah, Seria.

Kejadian berlaku ketika lawatan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman bersama pihak media ke Kem Operasi Bravo Satu di kawasan tempat kejadian kebakaran hutan seluas 40 hektar di KM17-18 Lebuhraya Mumong Bypass di Seria yang telah berlarutan sehingga ke hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, Unding Anak Lagat bersama beberapa orang anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera berat bomba dan berjaya mengawal api dalam masa kurang 30 minit.

Selepas api berjaya dikawal, beliau memberitahu pihak media bahawa terdapat kemungkinan bahawa api tersebut telah dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Awang Yahya meninjau kawasan kebakaran hutan di Lebuhraya Mumong Bypass.
Awang Yahya meninjau kawasan kebakaran hutan di Lebuhraya Mumong Bypass.

Ada kemungkinan juga kejadian tersebut angkara individu yang membakar sampah di tempat yang sama dan, menurutnya, ini bukanlah pertama kali ia terjadi di kawasan sama kerana baru minggu lepas kawasan itu juga dilaporkan dijilat api serta menyebabkan sampah-sarap yang dibuang di sini turut terbakar.

Awang Yahya turut menggesa orang ramai untuk berhenti melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlakunya insiden kebakaran terutamanya pada musim cuaca yang panas ini.

Beliau juga berkata, pada masa ini anggota bomba sedang giat berusaha untuk memadamkan api dengan membanjiri kawasan yang terjejas dan menambah bahawa usaha membanjiri kawasan tanah gambut di pedalaman itu sudah memasuki 75 peratus.

Pada masa yang sama, pihak Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) juga menasihati para pemandu supaya berhati-hati ketika melalui jalan raya berdekatan kawasan yang terjejas dan mematuhi segala arahan papan tanda yang disediakan dan juga menghubungi hotline DEOC di talian 3348046 atau 3348049 dan pihak Bomba dan Penyelamat di talian 995 bagi sebarang kecemasan berkaitan dengan sebarang kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA