Lagi kejadian tumpahan merkuri di Limbang

Lagi kejadian tumpahan merkuri di Limbang

MIRI, 11 Ogos – Satu kejadian tumpahan merkuri atau raksa berlaku di bilik stor unit seksyen pembangunan kesihatan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lawas, Limbang hari ini.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba Lawas yang diketuai Mustapa Juni menerima panggilan kecemasan pada pukul 11 pagi dan melakukan operasi pembersihan cecair itu yang tamat 35 minit kemudian.

Beliau berkata tumpahan merkuri itu disedari seorang jururawat yang sedang melakukan pemindahan barang di dalam bilik stor itu.

“Jururawat itu tiba-tiba terlihat tumpahan merkuri daripada peralatan mengukur tekanan darah di atas meja bilik stor dan terus mengkuarantin bilik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Untuk rekod kejadian tumpahan raksa ini adalah yang keempat berlaku di Lawas, Limbang pada tahun ini. – Bernama