Lagi pegawai FIFA dicekup

Lagi pegawai FIFA dicekup

File photo of President of the South American Football Confederation NapoutZURICH, 3 Dis – Dua pegawai tertinggi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ditahan di sini hari ini, berhubung skandal rasuah ialah naib presiden, Juan Angel Napout dari Paraguay dan Alfredo Hawit dari Honduras, kata seorang pegawai senior badan induk itu.

“Kedua-dua pegawai yang ditahan itu ialah Juan Angel Napout (gambar) dari Paraguay dan Alfredo Hawit dari Honduras,” kata pegawai FIFA itu yang enggan mendedahkan namanya.

Napout ialah Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan sementara Hawit Presiden Konfederasi Persatuan Bola Sepak Utara, Tengah Amerika dan Caribbean.

Kerajaan Switzerland sebentar tadi mengumumkan dua pegawai FIFA ditahan atas dakwaan mengambil rasuah jutaan dolar Amerika.

“Pegawai ranking tertinggi FIFA didakwa mengambil wang selepas menjual hak pemasaran dalam penganjuran kejohanan bola sepak di Amerika Latin, dan juga perlawanan kelayakan Piala Dunia,” kata kenyataan Kementerian Kehakiman Switzerland.

Kementerian itu bagaimanapun tidak menamakan dua pegawai yang ditahan itu.

Skandal rasuah itu menggemparkan FIFA sejak Mei lalu yang menyaksikan presiden badan induk dunia itu Sepp Blatter digantung dan disiasat di bawah kes jenayah di Switzerland, sementara Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini juga digantung dan berdepan dengan disenarai hitam seumur hidup. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA