Lagi sindiran Mourinho untuk Wenger

Lagi sindiran Mourinho untuk Wenger

LONDON, 20 Sept (Reuters) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho memperbaharui permusuhannya dengan pengendali Arsenal, Arsene Wenger selepas penyandang juara itu mencatat kemenangan 2-0 penuh kontroversi pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Ketika diminta mengulas komen Wenger yang menyifatkan penyerangnya, Diego Costa harus dibuang padang kerana tindakannya terhadap dua pertahanan Arsenal, Mourinho membalasnya dengan nada menyindir. “

Saya pernah bermain menentang Arsenal dan saya tidak tahu, 12, 15 atau mungkin 18 kali…. Dan hanya sekali dia tidak mengerang,” kata pengendali kelahiran Portugal itu merujuk kepada kemenangan Arsenal pada perlawanan Piala Perisai Komuniti, bulan lalu.

“Dan pada hari kami tewas perlawanan, kami kehilangan piala, ia tidak bagus untuk kami. Kami bersikap dengan baik, tiada sebarang alasan, tidak menangis, tidak mengerang,” katanya.

“Saya perlu berdepan dengan kekalahan saya. Malam ini dia terpaksa berdepan dengan kekalahannya.” Drama pertembungan tetangga London itu bermula pada penghujung babak pertama apabila pertahanan Arsenal, Gabriel dilayangkan kad merah akibat tindakannya yang bermula dengan kekasaran Costa kepada seorang lagi pemain kelab itu, Laurent Koscielny.

Arsenal kemudian terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain di atas padang selepas Santi Cazorla menerima kad kuning kedua kerana mengasari Cesc Fabregas 11 minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan itu turut mengembalikan semula kempen domestik Chelsea yang sebelum itu sekadar mencatat empat mata daripada lima perlawanan. Mourinho yang tidak pernah tewas kepada Wenger dalam 11 perlawanan EPL berkata Arsenal gagal mengawal tekanan hebat pertembungan tetangga London itu.

“Setiap perlawanan tetangga, kamu tidak menang tanpa mengawal emosi,” kata Mourinho.

“Jika kamu bercakap mengenai Diego Costa dengan saya, apa yang boleh dikatakan ialah dia bermain seperti dia perlu bermain dan kerana itu kamu mempunyai stadium yang penuh.

“Kamu menjualnya kepada televisyen di seluruh dunia dengan nilai jutaan kerana perlawanan perlu dimainkan seperti itu,” kata Mourinho.