Lagi warga asing didapati salah guna pas imigresen

Lagi warga asing didapati salah guna pas imigresen

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Seramai tujuh warga asing telah didapati menyalahgunakan pas imigresen dalam Operasi Cekup Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) ke atas dua buah restoran dan premis cuci kereta berasingan di Mukim Berakas, pagi tadi.

Menurut kenyataan JIPK, tiga lelaki warga asing telah didapati bekerja di premis cuci kereta, yang mana seorang telah dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang (BPGN) Bandar Seri Begawan (BSB) JIPK setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah, manakala dua lagi dikeluarkan Pas Khas bagi siasatan lanjut.

Manakala pemeriksaan ke atas sebuah premis restoran mendapati dua lelaki warga asing gagal menunjukkan sebarang dokumen telah dibawa ke BPGN BSB JIPK, akan tetapi dibebaskan setelah pihak majikan membawa pasport ke BPGN dan kedua-duanya juga dikeluarkan Pas Khas.

Sementara itu, dua lagi Pas Khas telah dikeluarkan ke atas dua individu asing bagi siasatan dan tapisan lanjut dan satu surat panggilan juga dikeluarkan ke atas majikan bagi membantu siasatan.

Operasi yang diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Imigresen dan melibatkan tujuh anggota penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan para majikan dan juga individu-individu terutamanya warga asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar atau menyalahi sebarang akta dan peraturan Imigresen.

JIPK dalam kenyataan itu juga mengingatkan akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, pihak jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen, dengan menghubungi talian hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA