Lahir belia berilmu

Lahir belia berilmu

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 28 Mac – Untuk melahirkan golongan belia yang berindentitikan Islam, berilmu, dan berkemahiran, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Jubli Emas Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong hari ini telah mengendalikan Program Sehari Bersama Belia, Kumpulan Belia-Belia Masjid Daerah Tutong.

Lebih 60 orang belia terdiri daripada belia-belia dan Masjid Hassanal Bolkiah, Masjid Bukit Beruang, Masjid Kampung Penabai, Masjid Kampung Penanjong dan Masjid Kampung Kiudang telah menyertai program sehari ini di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Antara aktiviti yang dijalankan menerusi program ini ialah taklimat kesihatan, kem pembangunan yang dimudahcara oleh Awang Ibadur Rahman, membaca Kitab Turath, dan menyampaikan taklimat Halal dan Penyembelihan.

Awangku Haji Mohd Raizul Amin ketika menyampaikan taklimatnya.
Awangku Haji Mohd Raizul Amin ketika menyampaikan taklimatnya.
Antara peserta belia program yang ikut serta.
Antara peserta belia program yang ikut serta.

Tujuan program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang kepentingan nilai-nilai dalam meluaskan pengetahuan dan minda, serta memupuk sikap positif dan proaktif di dalam setiap tindakan supaya mereka akan lebih fokus dan produktif dalam melaksanakan tugasan mereka.

Program ini juga dianjurkan untuk mengisi masa cuti persekolahan, bagi membantu ibu bapa serta para belia agar bersatu padu, berdisiplin, berakhlak tinggi dan menjadi masyarakat yang berwawasan, sihat, cergas dan berilmu.

Majlis petang tadi diikuti dengan penyampaian sijil penyertaan yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

ARTIKEL YANG SAMA