Lahir belia berwawasan

Lahir belia berwawasan

Oleh Salawati Haji Yahya & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10, Pameran Inovasi Usahawan Belia 2015 bertema ‘Engaging, Bridging & Networking Youth Entrepreneurship’ diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, selama dua hari, sehingga esok.

Pameran yang diharap menjadi wadah yang akan membawa para peserta untuk bergabung bagi saling menghubung dan mencipta rangkaian ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 itu disertai 16 usahawan muda yang mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan pendapatan $100,000 ke $300,000 ke atas setahun.

Turut diperkenalkan di pameran ini ialah usahawan belia yang berani meneroka bidang baru yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Belia seperti belia berpadi, belia yang berkecimpung dalam scaffolding dan pemandu jentera berat.

Selain itu, projek prototaip kereta di bawah kendalian Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang pernah dipertandingkan di Manila, Filipina turut dipamerkan.

Ketika membuat tinjauan ke pameran itu, Media Permata berkesempatan menemui Pengasas Mumtaz Collection, Dayang Syedah Siti Sara binti Haji Syed yang turut menyertai pameran berkenaan.

Dayang Nadiahtul ‘Afifah (kanan) menasihatkan belia agar terus berusaha.
Dayang Nadiahtul ‘Afifah (kanan) menasihatkan belia agar terus berusaha.
Pengasas Mumtaz Collection, Dayang Syedah Siti Sara.
Pengasas Mumtaz Collection, Dayang Syedah Siti Sara.

Menjelaskan mengenai penglibatannya dalam perniagaan pakaian Muslimah itu, katanya beliau bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan menerusi laman sosial pada 2009 dan kini telah berkembang sehingga terhasilnya rekaan Mumtaz dan terbukanya sebuah butik.

Menurut beliau lagi, kejayaan ini bukan sahaja memberi ruang kepada Mumtaz untuk memasarkan hasil rekaan sendiri malahan dapat memberi peluang kepada kaum hawa untuk tampil bergaya dengan pakaian menutup aurat, khususnya bagi wanita yang beragama Islam.

Menyentuh mengenai pemilihan kain dan jahitan pula, Mumtaz begitu menitik beratkan soal pemilihan kain yang tidak jarang dan kualiti jahitan, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyarankan para belia di negara ini supaya berani menyahut cabaran dalam perniagaan, dan menggunakan kemahiran yang ada untuk menjana ekonomi walaupun bermula dengan modal yang terhad.

Sementara itu, Pengurus Besar Hayaa Musfirah Enterprise, Dayang Nadiahtul ‘Afifah binti Haji Mohd Yasin ketika ditemui pula berkata, belia mempunyai banyak potensi untuk maju tetapi belia itu sendiri perlu berusaha dan menggunakan potensi tersebut seterusnya memberi sumbangan ke arah memantapkan lagi ekonomi negara.

Menceritakan mengenai latar belakang Hayaa Musfirah Enterprise, ia bermula pada tahun 2010 dengan memberi tumpuan terhadap pasaran pakaian Muslimah seperti tudung labuh yang mana pasaran ketika itu begitu sukar untuk diperolehi.

“Melihat kepada peluang yang ada itu, kami dengan langkah berani cuba memasarkan ke pasaran di negara ini bermula dengan hanya memperkenalkannya kepada kawan-kawan dan keluarga sehinggalah kami berjaya meluaskan perniagaan ini ke seluruh negara,” tambahnya.

Selain pameran, pihak urus setia juga telah menyediakan satu platform ‘Bicara Usahawan’ sebagai pusat pertemuan bagi para peniaga dan usahawan muda untuk membincangkan perkembangan sumber manusia dan sumber alam semula jadi.

Aktiviti lain termasuklah Pertandingan Pelan Perniagaan yang akan melibatkan beberapa buah pusat pengajian tinggi kerajaan dan bukan kerajaan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA