Lahir generasi belia bertanggungjawab

Lahir generasi belia bertanggungjawab

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melaksanakan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang bermatlamat untuk melahirkan generasi belia yang bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik, bersatu padu, cekal serta mampu untuk menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara dan memperkukuhkan ketahanan nasional.

PKBN merupakan program pembangunan belia yang unik di mana ia bercirikan sifat-sifat dan cara kehidupan orang Brunei yang sentiasa mendaulatkan raja, mendukung Konsep Negara Melayu Islam Beraja, hidup aman damai serta tidak camah mata.

Oleh itu, adalah menjadi harapan bahawa setiap belia yang menyertai dan menjalani program berkenaan akan dapat menghayati, memahami dan mengambil iktibar daripada semua kegiatan, jerih payah dan penat lelah yang telah mereka lalui.

Setiap kegiatan dan pembelajaran yang dilalui oleh para pelatih program mempunyai matlamatnya tersendiri di mana kesemuanya menjurus kepada meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai nilai-nilai kenegaraan, keusahawanan, pembentukan jati diri dan akhlak murni serta menanamkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dengan hasrat utama untuk melahirkan golongan belia yang dinamik, progresif serta tahan lasak.

Pelajar-pelajar yang menghadiri sesi taklimat itu.
Pelajar-pelajar yang menghadiri sesi taklimat itu.
Dayang Rohani menyampaikan taklimat semasa jerayawara berkenaan.
Dayang Rohani menyampaikan taklimat semasa jerayawara berkenaan.

Sehubungan dengan itu, sebagai usaha berterusan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai program berkenaan khususnya bagi Latihan PKBN Pengambilan ke-5 yang akan diadakan tidak lama lagi, Jerayawara Program Khidmat Bakti Negara diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Rimba I, hari ini.

Jerayawara yang dihadiri oleh para pelajar Tahun 11 sekolah berkenaan berpeluang untuk mendengar taklimat mengenai program itu yang disampaikan oleh Pegawai Urus setia, Dayang Rohani binti Haji Hasan.

Semasa taklimat itu, para pelajar diberikan penerangan mengenai kumpulan sasaran program, proses pemeriksaan kesihatan, kemudahan yang disediakan bagi para pelatih serta komponen-komponen yang terdapat dalam program berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA