Lahir graduan kebolehpasaran

Lahir graduan kebolehpasaran

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Pendidikan dan latihan yang diperoleh daripada pendidikan teknikal mampu menjana sumber tenaga kerja yang berkemahiran yang setentunya boleh menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, kadar peratus graduan yang mendapat pekerjaan setelah menamatkan kursus mereka di institut-institut pendidikan teknikal meningkat dari setahun ke setahun.

Menurutnya, kajian pekerjaan yang dikeluarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pada bulan September tahun ini menunjukkan sejumlah 71.6 peratus graduan telah pun mendapat pekerjaan setelah enam bulan menamatkan kursus-kursus mereka dibandingkan hanya seramai 63.8 peratus pada tahun 2012.

Manakala 75 peratus telah mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan program yang mereka ikuti iaitu ‘job relevant’ dibandingkan 65 peratus pada tahun 2012.

Sementara itu kajian kepuasan majikan yang dikeluarkan pada Julai 2015, mendapati bahawa secara keseluruhan 91 peratus majikan telah berpuas hati dengan mutu pekerjaan dan prestasi pelajar-pelajar lepasan IBTE.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan IBTE.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan IBTE.
Wajah ceria graduan-graduan yang menerima sijil mereka kelmarin.
Wajah ceria graduan-graduan yang menerima sijil mereka kelmarin.

Yang Berhormat Pehin menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei ke-23 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini, pagi ini.

Beliau seterusnya menyeru supaya usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan diteruskan dan dirancang dengan teratur, agar ianya akan dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan saja berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif serta bersikap progresif dan berfikiran keusahawanan akan tetapi mempunyai ciri-ciri, sikap dan keolahan yang luhur agar dapat mempamerkan keperibadian dan disiplin yang mampu meningkatkan kadar kebolehpasaran (marketability) graduan dan memenuhi kehendak majikan.

“Dalam usaha kita untuk terus relevan dan berperanan besar dalam pembangunan negara, pendidikan teknikal perlu melibatkan sektor industri untuk menawarkan program-program yang bersesuaian agar tidak wujud jurang kemahiran di antara apa yang kita hasilkan dan yang diperlukan oleh industri,” ujarnya lagi.

Menurut Yang Berhormat Pehin, ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Brunei Darussalam tahun 2015 mengenai perlunya untuk melaksanakan pendekatan ‘a whole of nation approach.’

Majlis Konvokesyen hari ini menyaksikan seramai 1,929 orang graduan menerima sijil masing-masing di peringkat Diploma Kebangsaan, Diploma, Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTec), Sijil Kemahiran 2 dan 3; dan Sijil Kelayakan Kemahiran Industri (ISQ) dalam pelbagai bidang kursus yang telah mereka ikuti.

Bangga...Ibu bapa salah seorang graduan berbangga dengan kejayaan anak mereka menamatkan pengajian.
Bangga…Ibu bapa salah seorang graduan berbangga dengan kejayaan anak mereka menamatkan pengajian.
Sebahagian graduan bergambar ramai.
Sebahagian graduan bergambar ramai.

Pada sebelah pagi, seramai 1061 graduan menerima Diploma Kebangsaan, Diploma Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal HNTec dan Sijil Kelayakan Kemahiran Industri (ISQ).

Penyampaian sijil HNTec adalah yang pertama kali diadakan dengan 177 graduan menerima sijil tersebut. Program HNTeEc adalah sebanding dengan diploma peringkat empat yang menjurus kepada latihan berasaskan kemahiran.

Program tersebut merupakan salah satu pencapaian IBTE sejak Transformasi Pendidikan Teknikal diperkenalkan pada tahun 2014.

Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sementara itu, pada sebelah petang pula seramai 868 orang graduan menerima sijil kemahiran II dan sijil kemahiran III, masing-masing dalam pelbagai program latihan pada Majlis Konvokesyen IBTE ke-23 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid selaku Ahli Lembaga Urus Tadbir IBTE.

Para penerima terdiri daripada pelajar-pelajar di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah, Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam, Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, Sekolah Vokasional Wasan, Sekolah Perdagangan dan juga Pusat Latihan Mekanik. Yang Berhormat turut menyampaikan Anugerah Cemerlang kepada lima orang graduan yang mengikuti program Majlis Pendidikan Teknik dan Vokasional Brunei Darussalam.

Anugerah tersebut diberikan berdasarkan pencapaian terbaik dalam bidang akademik manakala seorang graduan menerima anugerah khas bagi penglibatan aktif dalam kokurikulum.

ARTIKEL YANG SAMA