Lahir guru berprestasi tinggi

Lahir guru berprestasi tinggi

Oleh Sim Y. H. dan Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan menyediakan satu pelan komprehensif bagi mewujudkan satu ekosistem yang dapat mempercepatkan peningkatan kualiti guru.

“Ini bermakna, guru-guru sebagai satu komponen dalam ekosistem itu, akan bertindak proaktif dalam menyertai semua aktiviti yang kemudiannya mampu untuk menjadikan mereka sebagai guru-guru yang berprestasi tinggi,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Titah Baginda, peranan guru sebagai ejen pelaksana pendidikan adalah besar dan oleh itu, guru dituntut untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran bernas.

“Peranan guru adalah sejajar dengan keperluan negara dan hasrat kita manusia. Apa pun zaman, faktor ini adalah sama kerana itu, penyediaan dan peningkatan guru-guru perlulah dilihat daripada aspek ini.”

Baginda bertitah, para guru adalah penyumbang kepada kualiti pendidikan dan pemangkin kepada produktiviti tenaga sumber manusia Negara Brunei Darussalam.

“Kualiti pendidikan boleh dicapai melalui pendekatan whole of nation serta boleh diukur menerusi beberapa petunjuk prestasi utama kebangsaan yang telah dikenal pasti di bawah strategi Pendidikan Wawasan 2035 iaitu (i) peratus guru-guru yang berkelayakan dan berkualiti tinggi, (ii) peratus institusi pendidikan yang berada di bawah tahap minima mengikut standard institusi pendidikan.

“(iii) peratus pelajar Tahun 1 dan Tahun 3 yang berada di tahap minima literasi dan numerasi, (iv) peratus guru dalam BC GCE Peringkat ‘O’ dengan 5 ‘O’ dan ke atas, (v) kemasukan ke pasca menengah dan (vi) kadar pengijazahan (pengajian tinggi dan pendidikan teknikal dan vokasional).”

Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-26.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-26.

Baginda Sultan seterusnya bertitah menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan program literasi dan numerasi di peringkat awal persekolahan lagi serta percaya ia akan membantu para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran mereka di peringkat seterusnya.

“Sehubungan dengan ini, sokongan pelbagai pihak adalah diperlukan untuk sama-sama memastikan bahawa anak-anak bangsa kita akan menjadi rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Di sini, peranan ibu bapa adalah satu faktor utama.”

Baginda turut bertitah, sistem pendidikan harus sentiasa relevan serta melahirkan perasaan gembira mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan sentiasa mengambil langkah positif dalam memastikan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) benar-benar dapat memberi inspirasi ke arah merealisasikan Wawasan 2035.

“Beta berpendapat SPN 21 mestilah bersifat lebih besar dan berfungsi secara bersepadu dengan perancangan-perancangan negara.

“Ini penting kerana teras kepada pelan pembangunan negara adalah pendidikan.

“Beta juga amat gembira apabila mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah dan akan terus bekerjasama dengan Unit PENGGERAK Jabatan Perdana Menteri dalam memfokuskan beberapa bidang utama bagi membantu pencapaian pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah.

“Semoga usaha sama ini akan membuahkan hasil yang memuaskan.”