Lahir jurulatih taraf dunia

Lahir jurulatih taraf dunia

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Peluang pengadil bolasepak tanahair untuk menjadi pengadil bertaraf dunia dan kemudiannya terpilih untuk menjadi pengadil di kejohanan tertinggi di dunia iaitu Piala Dunia FIFA adalah lebih mudah daripada pemain bolasepak.

Apa yang penting adalah untuk setiap pengadil itu bersikap tidak pernah putus asa, terus konsisten mempertingkatkan dirinya dalam bidang pengadilan bola sepak dengan mengikuti kursus-kursus yang tersedia di bawah Program Pembangunan Pengadil sama ada di luar mahupun di luar negara, kekal aktif, kekal cergas, komited dan memberikan persembahan terbaik semasa bertugas.

Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin menyatakan perkara di atas pada hari pembukaan Kursus Asas Pengadil Bolasepak Kelas 3 Bagi Daerah Brunei & Muara, Sesi Tahun 2016 di NFABD House hari ini yang disertai seramai 17 orang peserta.

“Jabatan Pengadil, NFABD tidak memandang ‘seniority’ seseorang pengadil itu, maka walaupun seseorang itu masih baru tetapi memenuhi kriteria di atas, dia akan diutamakan untuk mengikuti kursus di luar negeri sehingga mencapai taraf pengadil tertinggi iaitu Pengadil FIFA. Tidak mustahil ia boleh dicapai dalam masa 2-3 bulan saja.”

Beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang pengadilan bolasepak sejak 1976 itu seterusnya menegaskan bahawa mutu pengadilan dalam satu-satu perlawanan adalah sangat penting kerana jika mutunya rendah sehingga membantutkan aliran permainan, maka bola sepak di sesebuah negara itu tidak akan boleh maju.

Awang Tamat ketika memberikan penerangan.
Awang Tamat ketika memberikan penerangan.

Maka adalah sangat penting untuk seseorang pengadil itu sentiasa mengikuti perkembangan dan pengetahuan terkini undang-undang perlawanan, menjaga kecergasannya dan aktif menghadiri latihan-latihan yang diadakan setiap Jumaat dan Ahad oleh Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, ujarnya lanjut.

Kursus akan hanya dijalankan setiap Jumaat dan Ahad, iaitu pada 26 dan 28 Februari, serta 4 dan 6 Mac ini yang merangkumi sesi teori dan amali termasuk Ujian Kecergasan dan Ujian Bertulis pada hari terakhir kursus pada 6 Mac nanti.

Seramai lima orang instruktor tempatan akan memudahcara kursus tersebut yang terdiri daripada Instruktor Pengadil FIFA, Degat anak Chandau, Awang Mohd Yusof Zaki bin Haji Serudin, Awang Mohd Yusof bin Abdullah dan Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Tajuddin.

Turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah EXCO NFABD merangkap Yang Di-Pertua Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, Awang Zulkifle bin Haji Duraman yang akan mengendalikan sesi kecergasan, dan komiti yang terdiri daripada para pengadil bola sepak tanah air.

Dalam ucapannya, Awang Tamat turut menyentuh mengenai peranan dan tugas Jabatan Pengadil, NFABD yang ditubuhkan atas arahan FIFA pada 1 Ogos 2013, yang bertanggungjawab dalam menganjurkan program-program pembangunan pengadil.

Selain menambah bilangan pengadil, jabatan itu turut bertanggungjawab dalam meningkatkan mutu pengadil dan pengadilan perlawanan, memastikan konsistensi pengadilan undang-undang permainan di semua peringkat, dan menyeragamkan penggunaan undang-undang permainan.