Lahir keluarga bahagia dengan pengukuhan akidah

Lahir keluarga bahagia dengan pengukuhan akidah

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei. – Penggunaan Internet dan gajet sangat diperlukan masa kini, namun terdapat banyak keburukan dan pengaruh tidak baik mengenainya terutama, oleh itu pemantauan berterusan adalah diperlukan.

Perkara tersebut antara yang diterangkan oleh Ketua Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Malaysia, Dr. Norsaleha binti Mohd Salleh dalam ceramah motivasi bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Hotel Park View Jerudong, di sini, hari ini.

Ceramah motivasi yang dianjurkan olah Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) Brunei itu membawakan tajuk ‘Mengukuhkan institusi keluarga Islam untuk mencegah penyalahgunaan dadah, penyalahgunaan Internet, ketagihan-ketagihan lain serta jenayah-jenayah alam siber’.

Terdahulu, Yang Di-Pertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohammad Ali dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, kaitan di antara kerapuhan institusi keluarga yang jumlahnya semakin bertambah dan kesan yang berpunca daripada menyalahgunakan dadah, Internet, ketagihan pornografi, dan keganasan rumah tangga tidak dapat dinafikan lagi sekarang, pada era globalisasi tanpa sempadan.

“Bagi kitani, masyarakat Islam di negara-negara serumpun Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia, serangan pemikiran-pemikiran bercanggah dengan Islam telah membawa peratus kecil belia-belia Islam kepada pola-pola pemikiran humanisme, pluralisme, liberalisme.”

Datin Hajah Masni dan Dr. Norsaleha pada ceramah Motivasi bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2016.
Datin Hajah Masni dan Dr. Norsaleha pada ceramah Motivasi bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2016.

Menurutnya lagi, walaupun dapatan kajian dalam kalangan belia dilaksanakan di negara jiran menunjukkan bilangan yang kecil, tetapi akan adanya pandangan yang bertentangan dengan Islam yang dikhuatiri nanti akan mencairkan jati diri belia.

Agenda feminisme dan usaha-usaha untuk melegalisasikan LGBT akan merosakkan identiti wanita Muslimah, mengancam kesucian perkahwinan di antara lelaki dan perempuan, merosakkan budaya dan menggugat keperibadian dan jati diri wanita Muslimah, tekannya.

Beliau menambah, BASMIDA mengambil berat tentang kesan dan impak penyalahgunaan dadah ke atas institusi keluarga dan institusi keluarga Islam.

“Bersempena dengan Hari Keluarga Kebangsaan 2016, BASMIDA menyeru rakyat dan penduduk Islam di negara ini untuk sama-sama melahirkan keluarga bahagia dengan menguatkan akidah Islam mengikut panduan falsafah negara Melayu Islam Beraja dan mengamalkan cara hidup Islam dalam sebuah Negara Zikir,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA