Lahir lebih ramai belia berkemahiran

Lahir lebih ramai belia berkemahiran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI EBGAWAN, 8 Nov – Dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan belia yang berkemahiran menjelang tahun 2035, Pusat Pembangunan Belia (PPB) tidak ketinggalan mengenal pasti beberapa kursus baru yang dapat di laksanakan selaras dengan keperluan dalam pasaran pekerjaan di negara ini.

Pemangku Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman berkata, tiga kursus yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan ke arah melahirkan lebih ramai golongan belia profesional dalam pelbagai bidang kemahiran di negara seperti Kursus Scaffolding, Fiber To The Home (FTTH) dan Cable Jointer.

Menurutnya, ketiga-tiga kursus itu mempunyai potensi dan peluang tinggi dalam menyumbang kepada peluang pekerjaan dan perusahaan kerana ia masih banyak diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.

“Perlaksanaan ketiga-tiga kursus singkat ini yang dilaksanakan secara usaha sama dengan syarikat konsultan telah memberikan nilai tambah penting yang mana konsultan yang dilantik ini mempunyai kemahiran dan pengalaman selain mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Singkat Scaffolding, Fiber To The Home dan Cable Jointer, PPB, di sini hari ini.

Salah seorang pelatih kursus menerima sijil tamat kursus mereka dari Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Salah seorang pelatih kursus menerima sijil tamat kursus mereka dari Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Salah seorang pelatih terbaik menerima hadiah dan sijil mereka dari Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Salah seorang pelatih terbaik menerima hadiah dan sijil mereka dari Dato Paduka Dr. Haji Affendy.

Menurut Awang Haswandi, semua lepasan pelatih kursus singkat pusat itu dapat melaksanakan dan menjalankan tugas mereka dengan baik di dalam bidang kemahiran masing-masing.

Kerjasama dari pelbagai rakan-rakan strategik kali ini terutama yang terlibat secara langsung dan tidak langsung telah memperlihatkan kerjasama dan komitmen yang sempurna antara sektor kerajaan dan swasta dalam bekerjasama membangun dan memberikan latihan kemahiran kepada golongan belia di negara ini khususnya dalam ketiga-tiga bidang ini, ujar beliau.

Antara pelatih kursus menunjukkan bukti kejayaan mereka menamatkan kursus dalam bidang masing-masing.
Antara pelatih kursus menunjukkan bukti kejayaan mereka menamatkan kursus dalam bidang masing-masing.

Beliau berharap, pelatih-pelatih yang tamat kursus itu akan keluar dengan azam dan semangat tinggi dengan kemahiran yang dipelajari dalam meraih kejayaan dalam kehidupan bukan saja untuk diri sendiri tapi untuk kebanggaan keluarga serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat, ekonomi dan negara.

Majlis yang diadakan di Restoran Stadium, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu menyaksikan 74 pelatih kursus singkat pusat berkenaan bagi sesi 2015-2016 menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Daripada jumlah tersebut seramai 40 orang mengikuti Kursus Scaffolding, 16 pelatih Kursus Fiber To The Home dan 18 orang pelatih lagi dari Kursus Cabel Jointer. Tiga pelatih terbaik dalam setiap kursus turut menerima hadiah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA