Lahir pelajar al-Insan as-Saleh

Lahir pelajar al-Insan as-Saleh

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Bagi melahirkan al-Insan as-Saleh melalui pendidikan yang seimbang dan sempurna, lebih 100 orang terdiri daripada para pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini, telah menyertai Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan November, di surau sekolah berkenaan.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu,dimulai dengan sesi tazkirah mengenai ‘Menjaga Kebersihan Tanggungjawab Kita Bersama’, yang antara lain mengetengahkan mengenai hukum kebersihan diri sendiri dan banyak lagi.

Menurut kenyataan yang diterima, di sini, dengan adanya program keagamaan berterusan seperti ini, ia akan dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pengalaman hidup yang sebenar dalam keluarga dan masyarakat serta memberi keyakinan terhadap beragama bagi menyokong pengisian hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.

Penglibatan pelajar secara menyeluruh dan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan membolehkan pelajar menimba pengalaman yang mendorong mereka untuk menghadapi dunia sebenar apabila mereka bergaul dengan masyarakat, di samping meningkatkan keterlibatan guru-guru agama khususnya dalam aktiviti kokurikulum, menurut salah seorang guru SMALHB.

Antara guru-guru dan pelajar SMALHB yang menghadiri Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan ini.
Antara guru-guru dan pelajar SMALHB yang menghadiri Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan ini.

Selain itu, antara lain tujuan program ini adalah untuk merealisasikan Rancangan Strategik JPI dalam meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan Agama dan melahirkan aqidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum.

Matlamat yang ingin dicapai oleh Islam dalam pendidikan adalah ingin melahirkan al-Insan as-Saleh melalui pendidikan yang seimbang dan sempurna dengan memberikan penekanan kepada kedua-dua aspek, iaitu kurikulum dan gerak kerja kurikulum yang menyeluruh merangkumi aspek mental, fizikal dan rohani.

Program yang berperanan untuk mengasah minda dan membentuk sahsiah pelajar itu juga diselenggarakan di keempat-empat daerah iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara, ia diadakan di Sekolah Ugama Lambak Jalan 77, di Daerah Tutong di Sekolah Ugama Tumpuan Telisai, di Belait di Sekolah Ugama Perdana Wazir dan Sekolah Ugama Selangan bagi Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA