Lahir pelajar berkemahiran tinggi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Menerusi skim perantis yang dilaksanakan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yakin mampu untuk menghasilkan graduan-graduan yang mempunyai kemahiran kerja, amal dan etika yang relevan di mana ia membolehkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta yang relevan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) IBTE, Dayang Munirah ‘Atirah binti Dato Paduka Haji Othman dalam kata alu-aluannya di Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Latihan Perantis (ATA) bagi Perantisan NTec dalam Penyejukan dan Penyaman Udara dan Perantisan NTec dalam Juruteknik Automotif Pengambilan Julai 2017.

Berbeza daripada latihan lain, Skim Sistem Dwi-Perantis membolehkan para pelatih untuk belajar dan memperoleh pendapatan secara serentak, ulasnya lagi di majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Berakas, hari ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa pelajar di bawah skim itu akan melalui latihan di institusi pengajian iaitu IBTE dan juga latihan sambil bekerja di syarikat-syarikat yang berkenaan.

Melalui skim perantis, ia merupakan kaedah yang efektif untuk menghubungkan institusi pengajian dengan dunia pekerjaan serta membolehkan pelatih-pelatih untuk mendapatkan pengalaman pekerjaan dan pada masa yang sama mendapatkan latihan teknikal dan profesional.

Para pelajar menandatangani Perjanjian Latihan Perantis (ATA) bagi Perantisan NTec dalam Penyejukan dan Penyaman Udara serta Perantisan NTec dalam Juruteknik Automotif Pengambilan Julai 2017.
Awang Norjemee (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ng Young Yau (kanan) dengan disaksikan oleh Awang Muhammad Saufi (tengah).

“Perantis bukan sahaja memperoleh kemahiran tetapi juga membangunkan keyakinan dan kompetensi mereka dalam bidang pilihan mereka,” jelasnya.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU dan ATA di majlis berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim.

Dalam kata alu-aluannya lagi, Dayang Munirah ‘Atirah berkata bahawa IBTE terus berusaha untuk menyediakan pendidikan holistik kepada pelajar-pelajarnya dan selain daripada mempersiapkan mereka dengan kemahiran kerja dan teknikal, mereka turut diajar mengenai kemahiran hidup seperti pengurusan diri, perancangan dan organisasi, bekerjasama serta menggunakan numerasi.

“IBTE menyasarkan untuk melahirkan graduan yang baik yang bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup dalam dunia globalisasi,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa IBTE amat berminat untuk menjalinkan dan menubuhkan kerjasama erat dengan pihak industri yang akan membolehkan mereka untuk bekerja dengan rapat mengenai perkembangan dan program latihan secara berterusan.

Majlis kemudian diteruskan dengan penandatangan MoU di antara IBTE dengan empat buah syarikat dalam industri penyejukan dan penyaman udara iaitu Aifa Sdn Bhd, Bee Seng Air Conditioning dan Engineering Sdn Bhd, Marsee and Company dan Nur Zafirah Engineering Sdn Bhd.

Di majlis itu, menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pemangku Pengarah/ Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Norjemee bin Jenek dengan saksi, Dayang Munirah ‘Atirah manakala bagi pihak Aifa Sdn Bhd ialah Pengurus Besar, Lily Ngo, bagi pihak Bee Seng Air Conditioning and Engineering Sdn Bhd ialah Ng Young Yau dengan saksi, Jasmin Perez-Abot, bagi Marsee and Company ialah Pengurus Operasi, Lee Swee Heng dengan saksi juru-kira, Suzi anak Jos dan bagi Nur Zafirah Engineering Sdn Bhd ialah wakil syarikat, Dayang Asmahan binti Mattamin dengan saksi, Penyelia Pelatih, Fatin Radqiah Ramli.

Penandatanganan MoU itu disaksikan oleh Awang Muhammad Saufi.

Di majlis berkenaan juga menyaksikan Penandatanganan Perjanjian Latihan bagi Perantisan NTec dalam Penyejukan dan Penyaman Udara di antara syarikat-syarikat dengan seramai 18 orang pelajar IBTE dan bagi Perantisan NTec dalam Juruteknik Automotif di antara syarikat-syarikat dengan seramai 24 orang pelajar IBTE.

Menandatangani bagi pihak IBTE untuk Perjanjian Latihan Perantis bagi Perantisan NTec dalam Penyejukan dan Penyaman Udara ialah Pengetua IBTE (Satelit), Awang Norjemee bin Jenek dan untuk Perjanjian Latihan Perantis bagi Perantisan NTec dalam Juruteknik Automotif ialah Pemangku Pengetua (Sentral), Awang Amri Durani bin Haji Durhman dengan penandatanganan perjanjian berkenaan disaksikan oleh Awang Muhammad Saufi.