Lahir pelajar serba boleh

Lahir pelajar serba boleh

Oleh Anwar Rosly

Gambar Oleh Sekolah Arab Belait

 

KUALA BELAIT, 14 Jan – Minggu Ta’aruf sempena kemasukan penuntut Tahun 5 ke Sekolah Arab Belait berakhir hari ini setelah ia diadakan selama tiga hari di Sekolah berkenaan.

Antara pengisian Minggu Ta’aruf ialah pengenalan visi dan misi Sekolah Arab Belait, pengenalan etos sekolah, melancarkan doa harian dan bacaan Asmaul Husna.

Aktiviti lain juga termasuk aktiviti ‘ice-breaking’ yang dikelolakan oleh bahagian kaunseling sekolah tersebut, pengenalan asas dari Jabatan Bahasa Arab, Pertandingan Hafazan Ayat-ayat lazim dan Surah Yassin, Azan dan Doa Qunut.

Matlamat dan tujuan Minggu Ta’aruf ini adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara para guru dan penuntut-penuntut baru dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

Melalui aktiviti yang dijalankan itu seperti pengenalan asas Bahasa Arab, ia diharap akan dapat memberikan pengalaman dan gambaran awal tatacara pembelajaran Bahasa Arab kepada para pelajar baru di sekolah tersebut.

Antara pelajar Tahun 5 semasa mengikuti aktiviti Minggu Ta’aruf tersebut.
Antara pelajar Tahun 5 semasa mengikuti aktiviti Minggu Ta’aruf tersebut.

Sementara itu, Pertandingan Hafazan Ayat Al-Quran itu juga diadakan supaya penuntut lebih bersemangat dan mendorong mereka untuk bersaing dalam suasana yang kompetitif dan secara tidak langsung membiasakan mereka untuk menghafal dalam masa yang singkat.

Di samping itu, ia juga diharap dapat membakar semangat pelajar dengan memberikan mereka nasihat dan contoh terbaik supaya mereka menjadi insan yang berguna di dunia mahupun di akhirat.

Menurut jurucakap bagi sekolah tersebut yang tidak ingin dikenali, penuntut kelihatan bersemangat dan memberi respons yang positif dan berani tampil ke hadapan ketika aktiviti diadakan.

“Mereka juga nampak gembira dan berseronok sepanjang Minggu Ta’aruf diadakan, terutama sekali apabila menyanyikan lagu ‘Ilal Amam’ yang bermaksud Maju Ke hadapan, lagu pembakar semangat yang biasa dinyanyikan oleh warga sekolah ini apabila sebarang pertandingan diadakan,” Jelas beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA