Lahir pemain berkualiti, komited tinggi

Lahir pemain berkualiti, komited tinggi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Seramai 14 orang termasuk seorang dari Singapura yang ingin menjadi jurulatih bertauliah kini sedang giat mengikuti Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC anjuran bersama AFC dan NFABD.

Mereka perlu menjalani kursus berkenaan di bawah tunjuk ajar Instruktor AFC, Stephen Ng Heng Seng dari 26 Mac hingga 8 April nanti yang merangkumi sesi teori dan amali termasuk ujian di penghujung kursus.

Membuka rasmi kursus berkenaan kelmarin di NFABD House ialah EXCO NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Dalam ucapan perasmiannya, Awang Rosdin menyatakan bahawa NFABD mahu melihat lebih ramai anak tempatan menyertai kursus berkenaan dalam usahanya membantu mempertingkat mutu permainan bolasepak di negara ini khususnya dalam dua liga kebangsaan iaitu Liga Super Brunei DST dan Liga Perdana Brunei DST di masa hadapan.

Pada masa ini, NFABD memberikan penekanan bahawa semua kelab yang menyertai liga kebangsaan perlu sekurang-kurangnya memiliki jurulatih yang ada Sijil ‘C’ AFC, ujarnya lagi.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC bersama Awang Rosdin (tiga kiri) dan Stephen (dua kanan) serta EXCO dan Pegawai NFABD yang hadir.
Para peserta Kursus Kejurulatihan Sijil ‘C’ AFC bersama Awang Rosdin (tiga kiri) dan Stephen (dua kanan) serta EXCO dan Pegawai NFABD yang hadir.

Beliau seterusnya berkata, adalah sangat penting untuk setiap kelab mempunyai jurulatiah-jurulatih bertauliah yang bagus, komited terhadap kelab mereka dan mempertingkat mutu permainan bolasepak.

Awang Rosdin menyatakan dia penuh percaya setiap yang diusahakan oleh NFABD pada masa ini adalah untuk melahirkan jurulatih tempatan yang bermutu tinggi seramai yang mungkin.

Kejayaan melahirkan jurulatih bermutu tinggi akan memberikan kesan positif dalam menyumbang kepada penghasilan pemain muda yang bermutu tinggi, bahkan ia bukan sahaja mustahak buat kelab tetapi lebih penting lagi untuk Negara Brunei Darussalam, tambahnya.

Di akhir ucapannya, Awang Rosdin menyeru semua peserta supaya mengambil peluang menyertai kursus berkenaan sepenuhnya dan kemudiannya menggunakan segala ilmu yang diperolehi untuk meningkatkan profesionalisme masing-masing dalam bidang kejurulatihan, yang boleh dikongsi bersama kelab masing-masing dan demi negara.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah EXCO NFABD, Haji Mohd Nor bin Haji Hamid dan Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong Mun Heng.