Lahir pemimpin sekolah berkualiti

Lahir pemimpin sekolah berkualiti

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – “Pemimpin yang hebat boleh menjana sekolah yang hebat,” itulah mesej utama yang disampaikan oleh Konsultan dari United Kingdom, Maggie Farrar ketika menyampaikan ucaptama mengenai Standard Kepimpinan Sekolah Brunei Darussalam (BDSLS) pada Forum Pendidikan Kebangsaan keenam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Hadir merasmikan forum berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, para timbalan setiausaha tetap, para pengarah, para pegawai kanan Kementerian Pendidikan serta para pemimpin sekolah.

Pada forum itu, Farrar menjelaskan BDSLS dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan kewujudan kepimpinan sekolah yang berkualiti tinggi yang amat penting bagi sistem pendidikan yang berjaya.

“Apa yang menjadikan standard yang dilaksanakan di Brunei unik berbanding yang lain di dunia adalah penerapan nilai-nilai dan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) di mana pemimpin sekolah Brunei merupakan rol model yang menekankan nilai-nilai dan falsafah itu dalam kehidupan,” kata Farrar.

Maggie Farrar menerangkan mengenai Program Pemimpin Sekolah Kanan Brunei (BDSLS).
Maggie Farrar menerangkan mengenai Program Pemimpin Sekolah Kanan Brunei (BDSLS).

“Penerapan nilai dan falsafah itu bukan sahaja menjadikan standard kepimpinan Brunei itu unik tetapi ia juga mampu menjadi satu tanda aras bagi negara-negara lain untuk melihat pelaksanaan standard kepimpinan sekolah dengan menekankan nilai-nilai moral dan falsafah untuk menerajui pendidikan yang menyeluruh,” katanya lagi.

Di samping itu, ulasnya lagi, standard itu memberikan penekanan kepada menyokong dan membimbing budaya pembelajaran berterusan dan pembangunan bagi semua pemimpin di Brunei.

Farrar juga menyatakan standard itu menumpukan kepada kepimpinan pembelajaran dengan lebih banyak tumpuan dibuat kepada peranan pemimpin sekolah untuk menerajui pembangunan profesional para guru di sekolah itu.

Di samping itu, melalui BDSLS, budaya kepimpinan yang ditekankan memberikan peluang kepada para pemimpin mempunyai autonomi untuk membuat keputusan terbaik bagi pendidikan para pelajar serta memberikan rasa tanggungjawab kepada mereka di atas keputusan yang dibuat.

Pada masa yang sama, Farrar menekankan kepimpinan yang dilaksanakan itu bukan sahaja terhad kepada suasana di sekolah sahaja tetapi menerusi perbincangan terbuka dan perkongsian pengalaman, para pemimpin boleh membantu satu sama lain untuk meningkatkan atau memperbaiki suasana sekolah masing-masing.

Dalam ucapan itu, Farrar turut menerangkan mengenai pelaksanaan BDSLS yang amat bertepatan dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mempunyai rakyat dan penduduk yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berjaya.

Terdahulu, Pengerusi bersama Forum dan Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar dalam ucapannya menyatakan forum pendidikan memberikan peluang kepada para pemimpin sekolah untuk mempelajari dan berkongsi pengalaman serta ilmu pengetahuan di antara satu sama lain untuk mempromosikan persefahaman dan mengukuhkan lagi kerjasama.

Beliau juga menyatakan Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa pembaharuan dan pencapaian termasuk menetapkan sasaran bagi peperiksaan PSR dan GCE ‘O’ Level, penstrukturan semula Jabatan Sekolah-sekolah, pelaksanaan sistem kluster bagi sekolah-sekolah, pengenalan pendidikan berkualiti dan penubuhan Standard Kepimpinan Sekolah.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan forum pendidikan kebangsaan itu akan terus dilaksanakan kerana ia memainkan peranan penting sebagai platform bagi para pemimpin sekolah untuk berkumpul dan meningkatkan profesionalisme.

Forum pendidikan itu turut menyaksikan penyampaian ucaptama oleh konsultan kedua dari United Kingdom, Dr. Coleen Jackson yang menerangkan lanjut mengenai BDSLS di mana beliau memberikan dorongan kepada para pemimpin sekolah untuk meneruskan usaha bagi memastikan para pelajar mereka akan mendapat kehidupan yang lebih cerah.

Semasa forum pendidikan itu, seramai 24 orang pemimpin sekolah yang dipilih telah membentangkan mengenai cabaran kepimpinan mereka iaitu projek atau inisiatif yang dijalankan ketika mengikuti Program BDSLS.

Forum ini diadakan bagi meraikan seramai 181 orang pemimpin sekolah yang berjaya menamatkan program BDSLS yang dilancarkan pada Mac 2015 hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, National College for Teaching and Leadership (NCTL) Nottingham dan Institut bagi Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA