Lahir penulis muda berkebolehan

Lahir penulis muda berkebolehan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – ASTERAWANI diseru untuk terus mendampingi dan melahirkan penulis muda supaya mereka dapat melibatkan diri dan menyedari peranan sebagai pelapis dalam persatuan ini.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pertemuan Sasterawan Brunei Kali Ke-6 di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, perkembangan kesusateraan dan bahasa khususnya akan dapat membantu masyarakat dalam membentuk dan menghargai jati diri sebagai orang Brunei sebenar dan tidak akan malu mengaku ia adalah ‘Orang Brunei’.

Menurutnya lagi, kehilangan orang lama dan yang berjasa nanti sangat dirasakan dan akan mengakibatkan jurang kesinambungan peranan yang penting ini.

Katanya lagi, “Hasil penulisan penulis di negara ini dapat dan sudah tiba masanya untuk disebarkan ke seluruh pelusuk dunia dengan cara menterjemahkan hasil karya tersebut ke dalam bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Perancis, Arab, China dan bahasa yang lain.”

Yang Berhormat Pehin melancarkan buku Antologi Puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Yang Berhormat Pehin melancarkan buku Antologi Puisi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku antologi kepada Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku antologi kepada Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Usaha ini memang bukan satu perkara mudah, jelasnya, kerana ia memerlukan kepakaran dalam bahasa-bahasa tersebut tapi ia dapat dilaksanakan secara bersistematik atau berperingkat-peringkat.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapan perasmiannya juga melahirkan rasa kegembiraan kerana hasil nukilan pena Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Adi Rumi), koleksi puisi dari Jendela Dunia telah dapat diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris iaitu Window on the World.

Beliau seterusnya mencadangkan sebagai langkah permulaan, buku-buku yang ditulis oleh penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) diberi keutamaan untuk diterjemahkan.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan, “Untuk merealisasikan hasrat ini, kerjasama dari semua pihak yang berkepentingan dalam memperjuangkan bidang kesusateraan dan bahasa ini adalah amat diharapkan dan dialu-alukan”.

Menurutnya lagi, golongan sasterawan adalah golongan penting dalam masyarakat dan melalui tulisan mereka pelbagai pemikiran, pandangan, kritikan, idea dan ilmu baru ditemukan dalam sama-sama membangun negara yang tercinta ini.

Bukan setakat itu, jelasnya, sasterawan memerlukan tempat bagi berkumpul untuk berkongsi pengalaman dan melihat bersama perkembangan kesusasteraan tanah air.

Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat Pehin, hubungan kerjasama di antara penulis adalah amat perlu terutama dalam sama-sama mengendalikan sebuah bahtera perjalanan kehidupan khususnya bersatu dalam sebuah kesatuan penulisan.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan pelancaran dua buah buku Antologi Puisi terbitan ASTERAWANI dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Tema bagi pertemuan kali ini, ‘Semarak Sastera Era Kebawah Duli’ yang mana dalam konteks ini, pihak kerajaan Baginda Sultan sentiasa menggalakkan sasterawan dan budayawan di negara ini untuk terus bergiat dalam bidang penulisan sama ada sastera kreatif atau bukan kreatif asalkan hasil karya tersebut sesuai dengan siasah keharmonian kehidupan rakyat dan negara.

Pertemuan Sasterawan Brunei ini antara lain bertujuan untuk mempertemukan para sasterawan, budayaan dan cendekiawan untuk bertukar-tukar fikiran, berkongsi ilmu dan pengalaman khususnya pengalaman kreatif. Selain mendapatkan ilmu, para sasterawan juga berpeluang untuk memperoleh masukan terbaru dari pembentangan kertas kerja dan forum untuk kegunaan penulisan dan perkembangan kesusteraan tanah air.

Pertemuan ini membentangkan sebanyak enam kertas kerja yang disampaikan oleh penulis tanah air sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing selain ucaptama yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang dikenali sebagai Badaruddin H.O.