Lahir tunas belia harapan Islam

Lahir tunas belia harapan Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Universiti Islam Sultan Islam Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) buat pertama kalinya telah mengadakan Program Tunas Harapan di Sekolah Rendah Rimba I, hari ini.

Program inisiatif para pelajar ini melibatkan seramai 55 orang mahasiswa Tahun 2 FEKIm dengan dipengerusikan Timbalan Dekan FEKIm, Dr. Kamarussalam bin Yusof dan beberapa orang tenaga akademik FEKIm.

Ketibaan rombongan di SR Rimba I telah dialu-alukan oleh Penolong Guru Besar, Dayang Norani binti Haji Lusin.

Menurut kenyataan UNISSA, seramai 58 murid Tahun 3 sekolah berkenaan telah terpilih dalam program tersebut yang menyasarkan tiga aktiviti utama yang menjadi peneraju bagi mencapai sasaran objektif program.

Kesemua aktiviti berlangsung pada sebelah pagi dimulai dengan sesi Ta’aruf para pelajar sebelum aktiviti pertama iaitu ‘Jom Buat Tabung Harapan’ seterusnya disambung dengan aktiviti kedua iaitu ‘Pengenalan Etika’, manakala itu aktiviti terakhir ‘Amazing Race’ pula telah diadakan selepas tamat waktu rehat hingga selesai.

Program Tunas Harapan yang diadakan di Sekolah Rendah Rimba I, kelmarin.
Program Tunas Harapan yang diadakan di Sekolah Rendah Rimba I, kelmarin.

Menurut kenyataan itu, program tersebut antara lain bertujuan agar mahasiswa-mahasiswi FEKIm dapat melahirkan tunas belia yang boleh diharapkan pada masa hadapan untuk memimpin masyarakat berlandaskan etika Islam.

Di samping itu, untuk memupuk semangat patriotik, setia kawan, kerjasama, tolong-menolong, kreatif dan bertanggungjawab menyumbang bakti kepada agama, raja, bangsa dan tanah air.

Dengan adanya program ini juga, para peserta akan dapat mengambil manfaat dalam membina jati diri mereka yang berlandaskan etika Islam.

UNISSA dalam kenyataannya turut melahirkan harapan agar program ini akan menjadi program inisiatif yang berkesinambungan bagi para mahasiswa-mahasiswi FEKIm dan akan dilaratkan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang.