‘Lahir untuk memimpin’

‘Lahir untuk memimpin’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Syababul Iman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Hampir 100 orang peserta terdiri daripada para pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah-sekolah menengah dan Pusat Tingkatan Enam Daerah Brunei-Muara telah menyertai Program ‘Journey of a Mu’min IV: Live to Lead’ (JOM IV) anjuran Kumpulan Belia Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Syababul Iman, baru-baru ini.

Program yang diadakan di masjid berkenaan selama tiga hari dua malam dan berakhir pada 27 Jun ini merupakan tajaan bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai platform untuk melahirkan belia yang bertanggungjawab, prihatin dan berbakti kepada raja, bangsa, agama dan negara.

JOM IV yang membawa tema ‘lahir untuk memimpin’ itu turut dimuatkan dengan beberapa aktiviti yang menarik serta mencabar dari tahun sebelumnya bagi mengetengahkan para belia dengan peranan mereka yang dilahirkan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Para belia selaku generasi yang memimpin masa hadapan dan serta langkah mempersiapkan dan melengkapkan para belia ini dengan ciri-ciri kepimpinan mengikut acuan Islam sepertimana yang diharapkan negara.

Antara peserta yang menyertai Program ‘JOM IV’ di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.
Antara peserta yang menyertai Program ‘JOM IV’ di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.

Menurut kenyataan penganjur, belia Islam kini berada pada era yang amat mencabar yang sering dikaitkan dengan isu gejala sosial dan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral hendaklah ditangani dengan penuh hikmah dan proaktif oleh semua pihak.

Oleh itu, matlamat program ini dijalankan agar para belia dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran pada era globalisasi ini dengan pendidikan agama khasnya dan pendidikan umumnya.

Selain itu, untuk memberi dorongan kepada belia untuk menerapkan sahsiah seorang Muslim dengan peribadi berkepimpinan mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

Dengan menyertai aktiviti itu juga, ia dapat memupuk sifat kepimpinan dalam diri setiap peserta melalui penglibatan dalam aktiviti yang mencabar, pengurusan diri, masa, komunikasi, pasukan dan hubungan profesional.

ARTIKEL YANG SAMA