Lahiri sasar gelaran berganda

Lahiri sasar gelaran berganda

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) – Pendahulu senarai Order of Merit Jelajah Asia, Anirban Lahiri dari India memburu peluang mengutip kejayaan berganda di Malaysia apabila beraksi di kejohanan golf CIMB Classic yang menawarkan hadiah AS$7 juta akhir bulan ini.

Menurut kenyataan Jelajah Asia hari ini, pemain berusia 28 tahun itu mengharungi musim terbaiknya ketika ini apabila menjuarai dua gelaran, terikat di kedudukan kelima dalam kejohanan utama serta mendapat tiket untuk penampilan sulung di saingan Piala Presiden.

Namun Lahiri masih belum puas dengan pencapaiannya tahun ini dan berharap kehadiran semulanya di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur dari 29 Okt hingga 1 Nov, dapat mengulangi kejayaan seperti di Terbuka Malaysia pada Februari lepas.

“Ia mungkin menjadi antara acara paling penting untuk saya tahun ini,” kata Lahiri, pemain ranking ke-40 dunia yang menduduki ranking ketiga dan kedua Jelajah Asia dalam dua tahun terakhir ini.

“Untuk kembali ke Malaysia dan beraksi di CIMB Classic adalah sesuatu yang hebat terutama selepas apa yang berlaku di Terbuka Malaysia. Ia adalah peluang untuk saya mencabar sekali lagi,” katanya.

Anirban Lahiri. – Reuters
Anirban Lahiri. – Reuters

Lahiri berharap dapat menggunakan CIMB Classic yang memasuki edisi keenamnya tahun ini, untuk mengatasi pemain bintang dari Jelajah PGA.

Dua bulan lalu, pemain India itu menampilkan aksi cemerlang di Kejuaraan PGA, kejohanan utama terakhir tahun ini, yang menurutnya memberikan keyakinan tambahan untuknya menjuarai acara yang mendapat pengiktirafan Jelajah PGA.

“Berkongsi kedudukan kelima di Kejuaraan PGA adalah sesuatu yang hebat. Banyak yang saya pelajari pada minggu itu. Keyakinan dan percayakan diri sendiri serta rasa hormat daripada pemain terbaik dunia…ia bukan sesuatu yang mudah.

“Apabila berjaya melakukannya, anda mahu ia berterusan dan bermain secara konsisten. Itulah yang saya usahakan. Anda perlu berusaha dan mengekalkan prestasi itu. Anda tidak lagi gentar,” kata Lahiri yang sudah menjuarai tujuh gelaran Jelajah Asia.

Beliau percaya 10 pemain Jelajah Asia yang akan beraksi di CIMB Classic, satu-satunya kejohanan yang mendapat pengiktirafan Jelajah PGA dan Asia di Asia Tenggara, mempunyai peluang yang sama untuk meraih gelaran itu.

“Ia adalah peluang terbaik untuk kami kerana didedahkan dengan tahap permainan yang berbeza. Cameron Smith tampil hebat ketika menduduki tangga kelima tahun lepas manakala Prom Meesawat dan Angelo Que juga berada dalam kelompok 10 terbaik.

“Itu adalah petanda yang baik. Mereka berjaya memberi saingan kepada pemain Jelajah PGA. Pemain Asia mempunyai bakat dan kemampuan, kita tidak lagi dibayangi oleh sesiapa,” kata Lahiri.