Lahirkan belia cintakan masjid

Lahirkan belia cintakan masjid

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Jun – Hampir 30 belia masjid Daerah Belait telah menyertai Kem Motivasi Syababul Masjid yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut di sini, hari ini.

Pelancaran kem berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin, selaku tetamu kehormat.

Kem dua hari berkenaan telah diisikan dengan beberapa program termasuk Sembahyang Fardu lima waktu secara berjemaah, di samping acara berkebajikan seperti kempen membersihkan masjid dan kawasan rumah salah seorang penduduk kampung yang memerlukan bantuan, serta kawasan penurunan perahu nelayan di Kampung Lumut.

Ia juga telah diisikan dengan ceramah motivasi, kuliah Subuh dan diselitkan dengan acara sukan seperti perlawanan futsal untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya mengamalkan cara hidup yang sihat.

Peserta Kem Motivasi Syababul Masjid membersihkan kawasan persekitaran Masjid Zainab Kampung Lumut.
Peserta Kem Motivasi Syababul Masjid membersihkan kawasan persekitaran Masjid Zainab Kampung Lumut.
Para belia bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan termasuk di tempat penurunan perahu nelayan di Kampung Lumut.
Para belia bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan termasuk di tempat penurunan perahu nelayan di Kampung Lumut.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumah Negara Kampung Pandan Kuala Belait dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, kem ini antara lain bertujuan untuk mengisikan masa lapang para belia dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Selain itu, ia juga merupakan antara usaha untuk melahirkan belia yang mencintai masjid, serta bagi membimbing belia dalam kerja-kerja berkebajikan serta bagi mengeratkan lagi tali silaturahim kalangan peserta.

ARTIKEL YANG SAMA