Lahirkan kreativiti hebat

Lahirkan kreativiti hebat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Dalam usaha menjadi pelajar kreatif, mereka perlu berfikiran hebat, dapat melahirkan idea dan menerapkannya menjadi sesuatu yang berguna untuk negara.

Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas (Profesional) Kementerian Pendidikan, Dayang Mariana Chek binti Bujang menekankan perkara itu ketika berucap pada majlis Pembukaan Rasmi Bengkel SEEDS 8: Great Thinkers Come This Way yang berlangsung di Lecture Theatre, Universiti Brunei Darussalam hari ini.

Menurutnya lagi, orang yang dapat memberikan idea, memotivasikan dan menjadi pencipta, merupakan pemimpin yang diperlukan pada masa hadapan.

Untuk itu, beliau menyeru peserta untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan untuk menjadi pemikir hebat, melahirkan kreativiti mereka pada bengkel itu.

Menurutnya, The Students Extracurricular and Educational Dramatic Society (SEEDS) Brunei yang kini sudah lapan tahun menyumbang kepada kepelbagaian kreatif di negara ini, semakin kukuh.

Tetamu kehormat majlis menerima cenderhati daripada Pengerusi SEEDS.
Tetamu kehormat majlis menerima cenderhati daripada Pengerusi SEEDS.

“Penyertaan ramai pelajar dari sekolah kerajaan bagi kerja-kerja sukarelawan dan kesenian menunjukkan bahawa seni adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan, bagi memastikan Brunei lebih berwarna-warni dan kreatif, sekali gus melahirkan ramai yang berkemahiran dan berfikiran jauh,” tambahnya.

Bengkel yang bertujuan memberi kesempatan kepada pelajar mendalami pelbagai aspek kesenian dan kemahiran berkaitan dengan pembelajaran mereka seperti syarahan awam, membina keyakinan dan banyak lagi.

Ia disertai 50 orang pelajar yang dianjurkan SEEDS Brunei dengan kerjasama Seksyen Seni dan Budaya, Jabatan Ko-Kurikulum Pendidikan, Kementerian Pendidikan.

Turut hadir di bengkel sehari itu ialah Pengerusi SEEDS, Rozie Juned dan Hill Zaini.

Bengkel turut menjemput diisikan dengan klinik lakonan, kelas parkour, kelas penulisan skrip dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA