Lahirkan masyarakat berkualiti

Lahirkan masyarakat berkualiti

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Lebih 800 orang belia, terdiri daripada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi, pelatih-pelatih Pusat Pembangunan Belia, alumni Program Khidmat Bakti Negara dan rekrut-rekrut pasukan-pasukan beruniform menghadiri Ceramah Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga bersempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan tahun ini.

Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, merupakan acara kemuncak sambutan, bertujuan untuk mengukuhkan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usaha sama yang cekap dan berkesan ke arah melahirkan masyarakat yang berkualiti dan meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan agama dalam kehidupan berkeluarga dan secara individu.

Menurut Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, format Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan tahun ini telah bertukar corak dan telah diteliti semula bagi memastikan keberkesanan dan objektif-objektif dapat dicapai

Beliau yang juga setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 berkata, ceramah tersebut diharap meningkatkan kefahaman peserta mengenai dengan kepentingan hidup berkeluarga dan memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing di dalam sebuah institusi keluarga.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat bersama semasa hadir di Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Brunei (kiri) petang kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat bersama semasa hadir di Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Brunei (kiri) petang kelmarin.
Datin Paduka Dr. Hajah Norlila semasa menyampaikan ucapan.
Datin Paduka Dr. Hajah Norlila semasa menyampaikan ucapan.

Ini adalah dikhususkan kepada para belia yang membawa peranan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab ke atas kebajikan orang tua mereka dan peranan mereka sebagai bakal menjadi ibu bapa nanti.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama di ceramah petang tadi itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Majlis petang tadi turut menyaksikan tayangan Video Promo Hari Keluarga Kebangsaan 2016 dan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan tahun ini telah membawa tema ‘Keluarga Berwawasan’ yang selaras dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2016.

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan adalah anjuran bersama tiga kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

ARTIKEL YANG SAMA