Lahirkan pemain bermutu

Lahirkan pemain bermutu

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – DST terus menzahirkan sokongan padunya membantu mempertingkatkan mutu bola sepak tanah air apabila mengesahkan komitmennya sebagai penaja utama Musim Liga Bolasepak 2016 yang akan membuka tirainya pada 5 Mac ini dengan Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 antara MS ABDB dengan Indera SC.

Menandatangani dokumen tajaan berkenaan bagi pihak DST ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Suhaimi bin Haji Hussain dan Penolong Pengurus Besar Kumpulan Perhubungan Korporat DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni.

NFABD pula diwakili oleh Pemangku Timbalan Presidennya, Haji Madli bin Mohd Yusuf dan EXCO NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Majlis Penandatanganan antara DST dengan NFABD di Tingkat 12, Ibu Pejabat DST berkenaan telah disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusuf.

Menerusi penandatangan penting berkenaan, DST akan menyokong NFABD dalam usahanya memperkembangkan pertandingan bola sepak di negara ini ke arah melahirkan pemain bola sepak bermutu tinggi serta menyediakan landasan tepat bagi mereka menunjukkan bakat masing-masing dalam usaha mereka supaya terpilih menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Haji Suhaimi (dua kiri) dan Haji Madli (dua kanan) bertukar dokumen yang ditandatangani bersama sambil disaksikan oleh Awang Abdul Lattif.
Haji Suhaimi (dua kiri) dan Haji Madli (dua kanan) bertukar dokumen yang ditandatangani bersama sambil disaksikan oleh Awang Abdul Lattif.

Empat piala akan menjadi rebutan di sepanjang musim baru liga bolasepak tanahair berkenaan iaitu Piala Sumbangsih DST Brunei 2016, Piala FA DST Brunei 2016, Piala Pusingan Liga Super DST Brunei 2016 dan Piala Pusingan Liga Perdana DST Brunei 2016.

Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 sebagai pembuka tirai Musim Liga Bola sepak 2016 akan berlangsung di Kompleks Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8:15 malam.

Radin Sufri dalam ucapannya menjelaskan DST dan NFABD telah berbincang mengenai cara untuk memperbaiki perkembangan bola sepak di negara ini dengan mengenalkan format permainan baru yang diubahsuai untuk Liga Super DST-NFABD Brunei 2016 menggunakan ‘format liga satu pusingan sahaja’.

“Cabarannya adalah untuk menumpukan kepada pasukan-pasukan dan membangun pasukan-pasukan itu bermain dalam liga yang betul dan memastikan sokongan dan sumber bertepatan disalurkan untuk mengasuh mereka.” Jelasnya lanjut.

Radin Sufri turut menyebutkan mengenai sokongan berterusan DST kepada perkembangan bola sepak belia di negara ini iaitu dengan menyokong aktiviti perkembangan belia NFABD seperti Pesta Bola Sepak, termasuklah juga inisiatif tahunan DST, ‘Ihsan Kasih’ untuk anak-anak yatim yang disokong oleh NFABD pula.

Beliau mendedahkan bahawa daripada inisiatif sebelum ini, NFABD telah berjaya mengenal pasti seramai 10 orang anak yatim berbakat yang kini giat mengikuti Skim Akar Umbi Bawah 12 dan 14 Tahun NFABD.

Menurutnya landasan seumpama itu adalah penting dalam menyediakan asas sangat baik untuk mengenal pasti dan mengasuh mereka sehingga berkembang menjadi seorang pemain yang akan bermain dalam Liga Bolasepak DST-NFABD Brunei dan seterusnya layak bermain untuk pasukan kebangsaan.

Selain menjadi penaja utama kepada DPMM FC dan Musim Liga Bolasepak Brunei 2016, DST turut menjadi penaja kepada Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST anjuran Persatuan Bolasepak Veteran (VFA).

Haji Madli dalam ucapannya mewakili Presiden NFABD, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah serta seluruh warga dan EXCO NFABD untuk mengucapkan penghargaan setinggi terima kasih kepada DST atas sokongan dan bantuan serta kerjasama yang diberikan secara berterusan dalam bentuk tajaan, yang dengannya NFABD dapat menganjurkan secara mudah dan berterusan liga/kejohanan bola sepak tertinggi di negara ini.

Beliau turut mengatakan bahawa NFABD mengharapkan ada lagi pihak-pihak yang lain akan dapat tampil mengikut langkah seperti yang telah disumbangkan oleh pihak DST berkenaan.