LAKAS juarai KKC

LAKAS juarai KKC

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dengan projek bertajuk ‘Pengurusan Minyak Kenderaan Laut Kurang Berkesan’, kumpulan LAKAS dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah diumumkan sebagai juara Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Kebangsaan ke-19.

Manakala itu, tempat kedua dan ketiga juga dimenangi oleh kumpulan daripada Jabatan Ukur, dengan kumpulan PGS1516 yang membawakan tajuk ‘Kelambatan Pembuatan Peta di Bahagian Pemetaan Geospatial’ berada di tempat kedua dan kumpulan TOCAD dengan tajuk Pelan Akui yang Tidak Mengikut Spesifikasi di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan pada Majlis Penutup Konvensyen KKC Peringkat Kebangsaan ke-19 yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu dan menyempurnakan penyampaian hadiah dan anugerah-anugerah ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai $6,000, tempat kedua $4,000 dan tempat ketiga $2,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Gambar ramai Dato Paduka Haji Mohd Roselan bersama kumpulan LAKAS.
Gambar ramai Dato Paduka Haji Mohd Roselan bersama kumpulan LAKAS.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan Anugerah Khas kepada Jabatan Ukur.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan ketika menyampaikan Anugerah Khas kepada Jabatan Ukur.

Sementara itu, enam kumpulan lain pula menerima sagu hati, dengan setiap kumpulan membawa pulang wang tunai $1,000 dan sijil penyertaan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas kepada Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan diikuti Anugerah Fasilitator Terbaik kepada Hajah Rusinah binti Haji Awang Tengah dari Jabatan Ukur dan Anugerah Persembahan Terbaik kepada kumpulan Tahsin dari Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri dengan membawa pulang wang tunai $1,000 dan sijil penghargaan.

Pada majlis itu, sembilan buah kumpulan dari lima jabatan yang mewakili empat kementerian kerajaan telah membentangkan projek mereka yang menjurus kepada pembaikan proses kerja dan meningkatkan produktiviti dan kualiti.

Terdahulu majlis penutup konvensyen berkenaan dimulakan dengan tayangan klip video KKC 2016 dan dikuti dengan penyampaian ulasan penilaian oleh Ketua Panel Penilai, Haji Abdul Aziz bin Dato Paduka Haji Abdullah.

Dalam ulasan penilaian itu, beliau antara lain membuat kesimpulan bahawa secara keseluruhan prestasi KKC yang bertanding pada tahun ini adalah baik walaupun jumlah yang menyertai ternyata menurun.

Pemarkahan projek KKC dinilai melalui laporan projek KKC, pembentangan semasa sesi tertutup, tinjauan dan persembahan semasa sesi terbuka.

Sesi terbuka berkenaan telah menampilkan persembahan kumpulan-kumpulan yang diwarnai dengan pelbagai kaedah penyampaian projek termasuk tayangan video, drama dan ilustrasi projek.

ARTIKEL YANG SAMA