Laksa M’sia kini ditawarkan di ruang istirahat Malaysia Airlines

Laksa M’sia kini ditawarkan di ruang istirahat Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Penumpang Malaysia Airlines kini boleh menikmati keenakan laksa Malaysia di ruang istirahat Golden, tempatan dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syarikat penerbangan itu menawarkan empat jenis laksa iaitu Laksa Kari, Laksa Johor, Laksa Asam Pulau Pinang dan Laksa Sarawak, sebagai langkah untuk memperkenalkan lebih banyak cita rasa tempatan kepada penumpangnya.

Ketua Produk Malaysia Airlines, Jascelena Ahmad berkata laksa merupakan satu daripada hidangan istimewa Malaysia yang disukai ramai.

“Dengan bantuan MAS Awana, kami mampu menyediakan 1,200 mangkuk setiap hari untuk penumpang kami dan pada masa yang sama mengekalkan rasa istimewa laksa kami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

“Kami mengesyorkan kepada penumpang kami untuk mencuba laksa yang berbeza kerana setiap menu berkenaan menawarkan rasa unik tersendiri. Setakat ini, Laksa Kari paling mendapat sambutan penumpang,” katanya.

Laksa Kari terdiri daripada laksa berkuah kari ayam dan dihidangkan bersama-sama udang, tauhu, tauge dan daun pudina manakala Laksa Johor, yang berasal dari negeri Johor, terdiri daripada spageti dalam kuah diperbuat daripada ikan dan dihidangkan bersama-sama tauge, hirisan kacang panjang, timun dan sambal.

Laksa Asam Pulau Pinang terdiri daripada laksa berkuah pedas dan masam diperbuat daripada ikan dan dihidangkan bersama-sama hirisan bunga kantan, nanas, timun, bawang, cili, dan daun pudina.

Laksa Sarawak pula terdiri daripada mee hoon dalam kuah santan pedas dan dihidangkan bersama-sama hirisan telur, ayam dan udang. – Bernama