Laksana ibadat dengan ikhlas

Laksana ibadat dengan ikhlas

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 27 Mei – Kira-kira 80 orang kalangan pelajar Muslimah kelas mengaji Al-Quran dewasa Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS, di sini, telah menghadiri Majlis ceramah agama Menghayati Bulan Ramadan, hari ini.

Ceramah yang telah disampaikan oleh Pensyarah dan Pemangku Dekan Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, (KUPU SB), Awang Zulkifli bin Haji Zakaria itu antara lain bertujuan untuk memberikan kefahaman dan pengetahuan yang lebih mendalam tentang hikmah dan kelebihan bulan Ramadan kepada kalangan pelajar-pelajar.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memberikan penghayatan kepada kaum Muslimah tersebut dalam menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan yang bakal menjelang dalam masa beberapa hari saja lagi.

Dalam ceramahnya itu, Awang Zulkifli antara lain menerangkan tentang puasa dan kesan pengaruhnya, yang menurutnya, antara lain untuk melatih diri melakukan amal dan kebajikan, selain melatih diri untuk bersifat sabar dan menjunjung perintah Allah S.W.T, dan doa dimustajabkan, serta mendorong untuk berbuat ibadat dan menutup pintu-pintu maksiat zahir dan batin.

Awang Zulkifli ketika menyampaikan ceramah agama Menghayati Bulan Ramadan.
Awang Zulkifli ketika menyampaikan ceramah agama Menghayati Bulan Ramadan.
Antara pelajar Muslimah kelas mengaji dewasa menghadiri Majlis Ceramah Ugama Menghayati Bulan Ramadan di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait.
Antara pelajar Muslimah kelas mengaji dewasa menghadiri Majlis Ceramah Ugama Menghayati Bulan Ramadan di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait.

Selain itu akan dikurniakan Allah S.W.T segala macam punca kesihatan sama ada yang zahir atau batin, mendapatkan sebaik-baik keampunan Allah dan dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan serta menuntut segala keredaan Tuhan dan rahmatNya.

Hikmah dan kelebihan bulan Ramadan pula, dapat mengendalikan hawa nafsu daripada segala keinginan yang tidak terbatas, membukakan hati dan jiwa untuk beribadat dengan ikhlas, Allah memberikan keampunan dan ganjaran syurga dan Allah memberikan pahala yang berlipat ganda.

Program tersebut juga merupakan aktiviti tahunan sebelum menjelangnya bulan Ramadan, supaya pelajar akan dapat lebih menghayatinya semasa menjalankan ibadah puasa nanti.

ARTIKEL YANG SAMA