Laksana ‘ilmu baru’ dalam tugas harian

Laksana ‘ilmu baru’ dalam tugas harian

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Seramai 42 pegawai dan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru berkhidmat telah berjaya menamatkan Kursus Induksi dan menerima sijil masing-masing di majlis yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin.

Hajah Aminah dalam ucapannya menyatakan harapan agar ilmu pengetahuan yang diterima melalui kursus tersebut akan dapat digunakan dalam pelaksanaan tugas-tugas yang diberikan di samping memberikan kefahaman yang lebih mendalam lagi kepada para peserta kursus.

Sementara itu, salah seorang wakil peserta kursus, Dayang Nurhalimatusyahirah binti Mudim Haji Matassin dalam ucapannya menjelaskan, kursus induksi berjaya dilaksanakan dengan jayanya sekali gus membolehkan para peserta meraih ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan dapat digunakan semasa menjalankan tugas harian mereka.

Hajah Aminah ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
Hajah Aminah ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

“Kami juga berkesempatan mengikuti aktiviti berpasukan yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sekali gus dapat menyuntik semangat bekerjasama dan bermuafakat di antara para peserta,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kursus seperti ini akan terus diungkayahkan di masa hadapan bagi pekerja-pekerja baru.

Kursus empat hari yang bermula 18 Mei lalu itu bertujuan memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai dan kakitangan di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam.

Di samping itu, ia juga bertujuan memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme kepada pegawai dan kakitangan supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan dalam menyesuaikan diri sebagai penjawat perkhidmatan awam.

Kursus itu mengandungi tiga segmen iaitu Kefahaman Mengenai Falsafah Negara Melayu Islam Beraja, Negara Zikir dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jammah; Tugas dan Tanggungjawap dan Sistem Pentadbiran Kerajaan Mengenai Peraturan-peraturan Asas Dalam Perkhidmatan Awam serta Tugas dan Tanggungjawap Bahagian-bahagian di Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka.

ARTIKEL YANG SAMA