Laksana, jaga kesempurnaan sembahyang

Laksana, jaga kesempurnaan sembahyang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – ‘Bengkel Kesempurnaan Sembahyang’ anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini, berakhir petang tadi dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada seramai 51 orang peserta bengkel.

Penyampaian sijil kepada peserta dan fasilitator pada majlis berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU, Berakas, telah disempurnakan oleh Pengarah Pentadbiran KHEU, Haji Zulkifli bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah. Dalam bengkel itu, para peserta telah didedahkan mengenai kepentingan melaksanakan dan menjaga kesempurnaan sembahyang dalam apa jua situasi, tempat dan waktu.

Bengkel yang diadakan selama empat hari bermula 16 Mei ini memberikan tumpuan dalam menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah para peserta, mengongsikan teori dan praktikal mengambil wuduk, tayamum dan menunaikan sembahyang dalam kenderaan khususnya di atas perahu dengan sempurna.

Para peserta juga telah dibawa melawat ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer dan Perumahan Nelayan, Kampung Sungai Teraban Kuala Belait.

Sepanjang lawatan berkenaan, peserta turut diingatkan mengenai kepentingan melaksanakan sembahyang ketika dalam perjalanan jauh.

Haji Zulkifli ketika memberi ucapannya pada majlis penutup bengkel.
Haji Zulkifli ketika memberi ucapannya pada majlis penutup bengkel.

Peserta bukan setakat mempelajari mengenai teori dan hukum-hakam sembahyang ketika bermusafir bahkan setakat mempelajari mengenai sembahyang Jamak dan Qasar dengan sempurna secara praktikal dengan bimbingan dan tunjuk ajar fasilitator bengkel yang berpengalaman.

Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata, peserta terdiri daripada 26 orang lelaki dan 25 orang perempuan itu dilatih untuk memperbaiki dan mengajar tatacara berwuduk, bertayamum serta solat dengan betul dalam pelbagai keadaan.

“Perkara ini amat penting bagi kita semua selaku hamba Allah Muslim, kerana ibadah sembahyang ini adalah ibadah yang awal sekali dihisab di Hari Pembalasan nanti, oleh yang demikian siapa pun kita, sembahyang jangan diabai-abaikan atau diringan-ringankan”.

Salah seorang peserta, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Jeffree bin Haji Mohd Kassim mengongsikan bahawa dalam bengkel itu mereka mempelajari solat dalam kenderaan, beliau juga bersyukur setelah berpuluh tahun, sekarang berpeluang untuk mempelajari solat secara lebih sempurna.

“Apa yang dipelajari selama ini, akan dapat diamalkan dan dimanfaatkan bukan sahaja para peserta bahkan untuk anak, isteri, suami dan rakan sejawatan, sahabat andai, sahabat sejawatan nanti”.

Mempelajari solat dalam kenderaan juga sebagai bonus yang mana dipelajari secara praktikal dapat menjelaskan bagaimana kedudukan solat dalam perjalanan, katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA