Laksana janji pilihan raya

Laksana janji pilihan raya

KUCHING, 8 Jun – Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang hari ini merasmikan persidangan penggal pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18, menyeru kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem menunaikan semua janji yang dibuat dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Beliau berkata rakyat mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menunaikan janji berkenaan yang dibuat dalam manifesto pilihan raya negeri.

Katanya ini kerana rakyat masih memerlukan pembelaan daripada kerajaan, khususnya dalam menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan harian.

“Manifesto Barisan Nasional yang komprehensif menyentuh pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi, pemeliharaan alam sekitar serta mempertahankan hak rakyat Sarawak di dalam Malaysia telah diterima dengan baik oleh rakyat.

“Saya yakin bahawa kerajaan negeri akan menunaikan janji-janji yang telah dibuat semasa kempen pilihan raya negeri lalu,” katanya.

Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) ceria ketika bersama Tan Sri Adenan Satem selepas istiadat pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 di Bangunan DUN, Petra Jaya. – Bernama
Tun Abdul Taib Mahmud (kanan) ceria ketika bersama Tan Sri Adenan Satem selepas istiadat pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 di Bangunan DUN, Petra Jaya. – Bernama

Dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei lepas, BN mencatatkan kemenangan besar dengan memenangi 72 daripada 82 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. DAP menang tujuh kerusi dan PKR tiga kerusi.

Taib berkata dalam usaha untuk membangunkan negeri Sarawak, hubungan rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan adalah sangat penting.

Katanya, ini kerana negeri Sarawak masih memerlukan perhatian yang khusus daripada kerajaan persekutuan, terutama dalam penyediaan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

“Saya yakin hubungan dan kerjasama rapat yang sedia terjalin akan memudahkan usaha kedua-dua belah pihak untuk berbincang, terutama mengenai keperluan pembangunan di negeri Sarawak,” katanya.

Taib turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Beliau menyatakan syukur kerana ekonomi Sarawak terus tumbuh walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global dengan kadar pertumbuhan dijangka berkembang sekitar 4.0 peratus dalam tahun 2016.

Dengan asas ekonomi yang kukuh dan disokong oleh aktiviti pelaburan yang menggalakkan, ekonomi Sarawak diyakini akan terus berkembang, katanya.

Taib berkata negeri Sarawak merupakan satu daripada destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur tempatan dan asing dan menurutnya pelaburan adalah penting bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaaan dan perniagaan kepada rakyat.

Beliau berkata semua agensi kerajaan perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan semua program dan projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat.

Katanya, beliau percaya transformasi luar bandar, iaitu satu daripada teras utama RMK-11 akan mengubah landskap pembangunan di kawasan luar bandar. – Bernama