Laksana ‘kerja penting’ sebelum yuan ke SDR

Laksana ‘kerja penting’ sebelum yuan ke SDR

WASHINGTON, 5 Ogos (AFP) – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata semalam ia perlu melakukan “kerja-kerja penting” dalam mengkaji semula mata wang China dalam kumpulan mata wang simpanan “hak khas” atau SDR.

Kerajaan China berusaha mengembang penggunaan yuan, juga dikenali sebagai renminbi (RMB), dengan memasukkannya dalam SDR, aset simpanan antarabangsa yang terdiri daripada empat mata wang: dolar, euro, paun dan yen.

Lembaga eksekutif IMF, yang mewakili 188 negara anggota institusi, akan membuat keputusan muktamad pada November, kata seorang pegawai kanan IMF, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

“Penggunaan antarabangsa RMB telah meningkat, walaupun daripada jumlah yang rendah, sejak kajian semula penilaian SDR terakhir,” kata IMF dalam satu laporan.

Menurut IMF, yuan memenuhi kriteria untuk menjadi mata wang yang digunakan untuk eksport barangan dan perkhidmatan. Namun syarat-syarat lain masih perlu dikaji.

“Tumpuan utama kajian semula adalah penentuan sama ada RMB merupakan satu mata wang yang boleh digunakan secara bebas,” kata IMF.

Pada pandangan IMF, mata wang yang boleh digunakan secara bebas ditentukan berdasarkan “penggunaan antarabangsa sebenar dan perniagaan mata wang,” bukan sama ada satu mata wang boleh diapung secara bebas atau boleh ditukar sepenuhnya.

Yuan dikawal ketat oleh kerajaan China, duri dalam daging dalam hubungan China dengan Amerika Syarikat, pemegang saham terbesar IMF.

Kerajaan Amerika Syarikat telah lama menuduh China menyimpan yuan yang dinilai kurang untuk merangsang eksportnya.

ARTIKEL YANG SAMA