Laksana projek penuh dedikasi, integriti

Laksana projek penuh dedikasi, integriti

KUDAT, 9 Nov – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan pegawai daerah di Sabah sentiasa berdedikasi selain menerapkan ketelusan dan integriti tinggi dalam melaksanakan projek pembangunan dirancang kerajaan.

Musa berkata elemen itu penting bagi memastikan fungsi dan peranan pegawai daerah dalam memacu pembangunan daerah untuk manfaat rakyat digalas dengan penuh tanggungjawab tanpa berlaku sebarang penyelewengan dan tidak amanah.

“Rakyat melihat setiap apa yang pegawai atau ketua mereka lakukan dan apabila mereka mendapat tahu tidak amanah, maka mereka akan hilang hormat.

“Oleh itu, sikap amanah dan integriti perlu diterapkan secara berterusan dalam menjalankan tugas,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai-pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-22 di sini malam tadi.

Turut hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh dan menteri-menteri Kabinet negeri yang lainnya.

Musa juga berkata kerajaan negeri amat memerlukan kerjasama dan keprihatinan pegawai daerah memandangkan usaha membangunkan seluruh kawasan di Sabah bukan suatu kerja mudah dan ia memerlukan sokongan mereka.

“Kerjasama antara kerajaan negeri dan pegawai daerah adalah penting dan saya berharap pegawai daerah sentiasa memberi kerjasama dan dalam masa sama melaksanakan tanggungjawab seperti diharapkan rakyat,” katanya.

Bertemakan ‘Mensejahterakan Luar Bandar’, persidangan dua hari pegawai-pegawai daerah yang bermula semalam itu adalah platform membincangkan keperluan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing.

Empat kertas kerja dibentangkan pada persidangan itu — Integriti dan Kepimpinan Pegawai-pegawai Daerah Dalam Memacu Pembangunan Daerah; Pembangunan Keusahawanan Masyarakat Luar Bandar; Perancangan Pembangunan Bandar Dan Desa Mengikut Perspektif Jabatan Perancangan Bandar Dan Wilayah serta Perancangan Pembangunan Negeri Sabah Yang Komprehensif Berasaskan Input Profil Daerah. – Bernama