Laksana R&D untuk hasil produk baru berasaskan sawit

Laksana R&D untuk hasil produk baru berasaskan sawit

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) – Malaysia akan terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk baharu berasaskan sawit, termasuk nutraseutikal dan farmaseutikal, untuk komuniti dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Amerika Syarikat, Eropah, Afrika, Pakistan dan China akan membantu industri itu dengan bekerja terus bersama pihak berkuasa dan penggiat industri bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit untuk makanan dan sektor bukan makanan.

Dalam ucapan perasmian Program ke-35 Familiarasi Minyak Sawit di sini hari ini, Uggah berkata minyak sawit menawarkan kelebihan saingan berbanding minyak makan lain untuk digunakan dalam sektor makanan dan bukan makanan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi MPOB Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

“Kami menjalankan penyelidik ekstensif bersama pusat kecemerlangan antarabangsa sebagai respons kami terhadap kempen anti minyak sawit, terutama mengenai aspek nutrisi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Kajian ini sudah membuktikan bahawa minyak sawit kaya dengan nutrisi,” katanya.

Uggah berkata kejayaan industri minyak sawit turut menarik penentang yang mendakwa pembangunan kelapa sawit menyumbang kepada pemusnahan hutan dan menyebabkan hidupan liar kehilangan habitat masing-masing.

Beliau berkata pembangunan ladang sawit di Malaysia mematuhi peraturan, dan ditanam di kawasan yang diperuntukkan untuk kegunaan pertanian.

Ia memenuhi komitmen negara yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil bagi memastikan sekurang-kurangnya separuh daripada keluasan tanahnya dilindungi hutan,” katanya.

“Selain itu, industri itu menggalakkan penggunaan amalan lestari, termasuk pensijilan minyak sawit lestari menerusi inisiatif yang diketuai industri dalam rangka kerja Rundingan Minyak Sawit Lestari (RSPO).

“Kini terdapat seluas 1.29 juta hektar ladang kelapa sawit di Malaysia yang sudah memperoleh sijil RSPO, yang menyumbang sebanyak 4.8 juta tan minyak sawit lestari,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA